KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin secara lantang menolak untuk bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) termasuk dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan datang.
Katanya, kerjasama antara parti tersebut tidak akan terjadi susulan sejarah yang dilalui bersama Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
"Kita tahu banyak parti di Sabah ini menyatakan mereka parti tempatan, PBS contohnya. PBS satu-satunya parti yang kita tidak boleh bekerjasama.
"Dia (PBS) tikam BN dua... tiga kali. Tahun 1990 dia keluar semasa selepas penamaan calon, ingat? Dia menang 14 kerusi Parlimen sebab dia menipu BN," katanya ketika berucap pada perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Sepanggar, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut mengingatkan PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bahawa UMNO Sabah tidak gentar untuk berhadapan dengan mereka dalam PRN kali ini.
"Hari ini banyak pemimpin lantang menyatakan tolak UMNO sebab parti Malaya (Semenanjung). Saya ingin jelaskan kepada PBS, kepada STAR, jangan main-main dengan UMNO Sabah kita tidak gentar sebab kita telah bersedia.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag mahu jentera di negeri ini turun padang untuk mengesan pengundi masing-masing.
"Kalau kita mahu menang buat kerja orang mahu menang, jangan sambil lewa. Bincang dan duduk di pusat mengundi daerah (PDM) di cawangan kesan pengundi kita, cari dan temui mereka.
"Jangan tunggu pengundi kita datang, politik dan pilihan raya ini seperti memancing. Umpan kita kena baik, bahasa kita kena baik, pendekatan kita kena baik.
"Lebih-lebih lagi perubahan pengundi sudah nampak begitu ketara, anak muda ramai dan kemahuan mereka berlainan dengan apa yang kita mahu. Justeru, Pemuda, Wanita dan Puteri jangan kita bercakaran," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!