UEFA 'cabut' status elit pengadil EPL

Iklan
Pawson (dua kiri) sering dikritik kerana mutu pengadilan teruk dan berat sebelah. Foto: Agensi

KESATUAN Bolasepak Eropah (UEFA) telah menurunkan pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL), Craig Pawson ke Senarai Kedua - menandakan perubahan ketara dalam ranking pegawai perlawanan badan pengelola itu.

Difahamkan, pengadil berusia 45 tahun dari England itu telah digantikan oleh John Brooks dalam Senarai Pertama UEFA.

Iklan
Iklan

Menurut ESPN, Brooks, 34, mempunyai statistik terbaik daripada semua pengadil EPL sepanjang musim 2023/24 dan menduduki tempat kedua sebagai pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR).

Penyingkiran Pawson menyaksikan dia menyertai pengadil dari England yang lain iaitu Stuart Artwell, Darren England, Jarred Gillett, Rob Jones dan Andy Madley dalam Senarai Kedua yang merupakan peringkat ketiga bagi pegawai UEFA.

Iklan

Keputusan untuk 'mencabut' status elit Pawson diputuskan selepas pengadil itu berdepan kritikan susulan mutu pengadilan yang teruk termasuk membatalkan gol lewat permainan Chelsea ketika menentang Aston Villa kerana kekasaran yang diragui pada April lalu.

Pada November 2021, pengendali Liverpool ketika itu, Jurgen Klopp menuduh Pawson menjadi punca kekalahan 2-3 Liverpool kepada West Ham United.

Iklan

Klopp melepaskan kemarahannya kepada Pawson dengan menuduh pengadil itu terlalu bergantung kepada VAR apabila rekod 25 perlawanan tanpa kalah The Reds dalam semua pertandingan akhirnya lebur.

Pada 2022 pula, pengendali Manchester United, Erik ten Hag melepaskan kemarahannya terhadap Pawson kerana mendakwa pengadil itu tidak konsisten dan amatur ketika United diikat seri tanpa jaringan dengan Newcastel United di Old Trafford.

Selain, Pawson seorang lagi pengadil elit EPL, Anthony Taylor mungkin menerima nasib disingkirkan ke Senarai Kedua.

Ini selepas mutu pengadilannya ketika mengadili perlawanan antara Belanda dan Perancis dalam saingan Kumpulan D, Euro 2024 dipersoalkan.

Taylor dan pegawai VAR - Stuart Artwell dikritik kerana mengambil masa terlalu lama untuk membatalkan jaringan Xavi Simons yang terhasil pada minit ke-68.

Taylor membatalkan jaringan tersebut kerana pemain Belanda, Denzel Dumfries berada dalam kedudukan ofsaid.

Namun, pengendali Belanda, Ronald Koeman mendakwa Dumfries tidak mengganggu penjaga gol Perancis, Mike Maignan dan sepatutnya jaringan tersebut disahkan Taylor serta pegawai VAR yang bertugas.

Sebelum ini Taylor cukup terkenal dengan mutu pengadilan yang teruk dan sering membuat keputusan kontroversi setiap kali mengadili perlawanan besar.

Pada 2023, pengendali AS Roma ketika itu, Jose Mourinho membidas Taylor kerana mutu pengadilan teruk pada perlawanan akhir Liga Europa semasa menentang Sevilla di Hungary.

Akibat mutu pengadilan ‘cap ayam’, Taylor diserang sekumpulan penyokong Roma yang mengekori pengadil itu dan keluarganya sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Budapest.

Dalam aksi EPL pula, penyokong Liverpool tidak berpuas hati selepas Taylor diumumkan sebagai pengadil yang mengadili perlawanan antara The Reds dan Manchester United di Old Trafford pada April lalu.

Ini kerana Taylor yang dilahirkan di Wythenshawe, selatan Manchester sering memihak kepada United dalam aksi domestik England.