ALOR SETAR - Pengumuman berhubung lanjutan pengecualian visa kepada China sehingga penghujung 2026 boleh disifatkan sebagai bonus bagi Kedah yang kini dalam persiapan untuk menyambut Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, ia memandangkan Pulau Langkawi merupakan antara destinasi di negara ini yang menjadi tumpuan pelancong China.
"Kami berharap dengan langkah pengecualian visa kepada warga China ini, kadar kunjungan pelancong dari negara itu ke Langkawi khususnya dan ke seluruh Kedah umumnya akan melonjak.
"Ia seiring dengan apa yang dihasratkan oleh TMK2025,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Salleh memaklumkan, pihaknya mengalu-alukan inisiatif lanjutan pengecualian visa hingga akhir 2026 itu.
Beliau berpandangan, langkah ini bukan sahaja dapat memupuk serta mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara tetapi juga akan memberikan impak yang positif kepada sektor ekonomi khususnya pelancongan negara ini.
RANGSANG AKTIVITI PELANCONGAN DI KELANTAN: EXCO
Sementara itu, langkah kerajaan Malaysia dan China berhubung pengecualian visa dilihat mampu merangsang aktiviti pelancongan di Kelantan.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Noor berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha antara Malaysia dan China tersebut.
"Lagipun 2024 adalah Tahun Melawat Kelantan yang bertemakan Family, Food And Festival.
"Ia akan memudahkan kemasukan pelancong China ke Kelantan sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini,” katanya.