Dulu jurutera, sekarang usahawan cili

Iklan
A Srinath, 29, menunjukkan hasil cili merah yang ditanam di kawasan seluas 0.68 hektar yang disewa ketika ditemui di Batu 4, Changkat Jong. Foto Bernama

TELUK INTAN - Seronok berbudi pada tanah ketika bekerja dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu negara dilanda Covid-19 empat tahun lepas menjadi titik tolak seorang jurutera perisian meninggalkan kerjaya itu dan mengusahakan tanaman cili secara fertigasi.

Ternyata keputusan itu tepat apabila usaha A Srinath, 29, membuahkan kejayaan serta mendapat hasil lumayan dan paling menggembirakan, ia sedikit sebanyak membantu menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

Iklan
Iklan

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Tenaga Nasional itu berkata, pada mulanya dia menanam 400 polibeg cili merah menggunakan sistem fertigasi bersama abang sulungnya berdekatan kediaman ibu bapa mereka di Changkat Jong di sini semasa tempoh PKP.

A Srinath menuai cili merah yang ditanam di kawasan seluas 0.68 hektar yang disewa ketika di temuramah di Batu 4, Changkat Jong.

"Selepas tamat tempoh bekerja dari rumah, saya pulang semula ke Subang Jaya, Selangor untuk bekerja di pejabat namun saya rasa seronok pula menjadi petani.

Iklan

"Saya berbincang dengan ibu bapa nak tanam cili merah dalam skala besar dan saya mengambil keputusan meletak jawatan selepas tiga tahun bekerja sebagai jurutera dan balik ke sini untuk tanam cili," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Anak kedua dari tiga beradik itu menggunakan wang simpanan berjumlah kira-kira RM50,000 untuk membeli peralatan sistem fertigasi seperti polibeg, paip, pam air serta pembinaan stor untuk memulakan tanaman cili fertigasi berkenaan.

Menyedari dirinya tiada pengalaman luas dalam bidang pertanian, Srinath berkata dia mengikuti beberapa kursus yang dikelolakan Jabatan Pertanian Perak serta belajar antaranya cara semaian biji benih, bancuhan baja atau racun serangga perosak serta sistem fertigasi seperti pam dan paip.

Iklan

Srinath yang menyewa sebidang tanah seluas 0.68 hektar milik individu persendirian telah menanam 2,500 polibeg cili merah jenis 'Kulai 461' dan mempunyai tiga pekerja untuk membantunya setiap hari.

A Srinath, 29, membungkus cili merah untuk dijual kepada pelanggan ketika ditemui di Batu 4, Changkat Jong. Foto Bernama

Dia kini dapat menarik nafas lega apabila jerih perihnya membuahkan hasil apabila mampu meraih pendapatan sekitar RM40,000 hingga RM50,000 dengan tuaian kira-kira lima tan semusim.

Menurutnya, cili merah itu dijual di sekitar daerah ini antaranya Pasar Besar Teluk Intan, pasar raya dan kedai runcit selain turut dijual kepada pemborong di Pasar Borong Selayang di Selangor dengan harga RM6 hingga RM11 sekilogram mengikut harga pasaran semasa.

Srinath berkata, penanaman cili merah memerlukan kesabaran tinggi kerana berhadapan beberapa cabaran antaranya serangan serangga perosak seperti hama merah, kutu trip, lalat putih atau terkena penyakit mozek.

Tambahnya, pokok cili yang dijangkiti penyakit mozek tidak boleh diselamatkan lagi dan perlu ditanam yang baharu, namun sekiranya pokok cili terkena serangan serangga, ia masih boleh dikawal dengan semburan racun serangga ke atas pokok cili tersebut.

"Saya mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk mengusahakan tanaman cili secara fertigasi ini dalam skala yang lebih besar dan sudah tentu saya mahu usahakannya di tempat kelahiran saya di sini juga," katanya yang turut mengusahakan tanaman timun secara kecil-kecilan.

Menurut laman Facebook Jabatan Pertanian Malaysia, fertigasi adalah satu kaedah penanaman dengan pemberian baja yang lengkap kepada tanaman diberikan dalam bentuk larutan dan disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!