Isu restoran jijik, sampai bila...

Iklan
Terbaharu, pembongkaran di sebuah restoran nasi kandar 24 jam yang dikesan beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan diarah tutup selepas diperiksa.

ISU restoran beroperasi dengan keadaan kotor seperti tiada noktah kerana kerap kali dilaporkan pihak berwajib mengambil tindakan, namun ia bagaikan tidak menjadi ingatan kepada pemilik lain untuk memastikan premis mereka sentiasa kemas dan bersih.

Sebelum ini media pernah melaporkan tentang seekor tikus menjilat ayam goreng dalam pemanas makanan di sebuah restoran dan ia cukup meloyakan.

Iklan
Iklan

Pengusaha perlu sedar bahawa pelanggan yang datang ke restoran mereka mengeluarkan sejumlah wang untuk makanan, jadi setiap aspek di premis tersebut baik layanan, kebersihan dan rasa perlu dijaga.

Jika hanya menyediakan makanan sedap tetapi dapurnya cukup kotor, ia seolah-olah menipu pelanggan.

Iklan

Terbaharu, pembongkaran di sebuah restoran nasi kandar 24 jam yang dikesan beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan diarah tutup selepas diperiksa dalam Operasi Khas Penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Perak di sekitar Station 18 di Ipoh pada Jumaat.

Menurut Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan, arahan penutupan selama 14 hari itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Iklan

Katanya juga premis berkenaan mendapat markah kosong sekiranya diberi penilaian mengenai tahap kebersihan.

Walaupun sering kali pihak berkuasa mengambil tindakan kepada kedai-kedai yang terlibat, namun masih terdapat premis degil dan tidak mengambil pengajaran daripada perkara itu.

Jika diimbas kembali restoran-restoran berkenaan merupakan tempat tumpuan masyarakat kita berkumpul menikmati hidangan bersama keluarga.

Diharap pengusaha lebih cakna mengenai aspek kebersihan kerana pemakanan yang bersih menjamin hidup sihat.

Tindakan lebih tegas juga perlu dikenakan seperti denda lebih tinggi atau membatalkan lesen perniagaan selain tidak membenarkan lagi pihak telibat menjalankan perniagaan berkaitan makanan.

Selain itu kekerapan pihak berkuasa untuk melakukan pemeriksaan terhadap restoran wajar dilakukan dan tidak hanya menunggu laporan untuk bertindak.

Jaminan makanan yang selamat hanya dapat diperolehi daripada pengendali dan premis bersih.