JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menerusi lapan siri serbuan yang dilakukan di sekitar Kempas dan daerah Batu Pahat pada Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, seramai tujuh suspek berusia lingkungan 25 hingga 48 tahun ditahan secara berasingan di beberapa unit kondominium dan kediaman peribadi hasil daripada risikan serta maklumat orang awam.
Menurutnya, suspek yang ditahan terdiri daripada empat lelaki, seorang wanita tempatan dan dua wanita warga Vietnam dipercayai masing-masingnya mempunyai kaitan termasuk hubungan suami isteri.
"Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai sudah aktif sejak dua tahun lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Kamarudin berkata, pemeriksaan di setiap lokasi serbuan turut menemui pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM806,305 yang dipercayai untuk dijual bagi pasaran tempatan.
Katanya, pihaknya turut bertindak merampas sepucuk pistol lengkap dengan 13 peluru hidup yang ditemui daripada salah seorang suspek.
"Dadah yang ditemui adalah heroin seberat 27,696 gram, syabu (5,753 gram), ketamin (1,515 gram), pil eramin 5 (1,800 biji), ecstacy (870 biji) dan pil yaba (170 biji).
"Buat masa ini kita sedang menjalankan siasatan lanjut tetapi kita percaya kesemua dadah ini telah diproses di tempat lain sebelum dibekalkan kepada semua suspek untuk dipasarkan,” katanya.
Menurutnya, selain dadah, lima kenderaan mewah, lima jam tangan, 22 bentuk cincin emas dan juga wang tunai bernilai RM10,665 turut dirampas dalam operasi berkenaan.
"Kesemua suspek direman selama lima hari bermula hari ini di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya.