SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil pendirian yang sama dengan kerajaan Sabah berhubung pembatalan Pas Sementara Sabah (PSS).
Menerusi satu kenyataan hari ini, KDN menjelaskan cadangan pelaksanaannya adalah persetujuan bersama melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk).
Menurutnya, KDN mengambil maklum keputusan kerajaan Sabah membatalkan PSS melalui Mesyuarat Kabinet Negeri pada 22 Januari lalu selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
"Kementerian ingin menegaskan bahawa tindakan penyelesaian mengenai isu pelarian di Sabah adalah komitmen bersama kerajaan Sabah dan Pusat yang mesti dilaksanakan secara berterusan dengan lebih teliti dan berhati-hati tanpa menjejaskan hak-hak warganegara, kepentingan dan keselamatan rakyat Sabah,” kata kenyataan tersebut.
Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan PSS dibatalkan selaras dengan kehendak dan suara rakyat Sabah.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Sabah batal pelaksanaan PSS
PSS adalah dokumen baharu yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen kepada pendatang bagi menggantikan tiga dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.
Wujud kebimbangan PSS akan menjadikan pendatang mendapat kewarganegaraan Malaysia dan menjadi lebih ramai daripada penduduk tempatan.