PCS berdepan cabaran sertai GRS, nekad stabilkan politik Sabah - Anifah

Iklan
Anifah. Foto Bernama

PENAMPANG - [DIKEMAS KINI] Walaupun berdepan dengan keraguan daripada pihak luar mengenai tindakan Parti Cinta Sabah (PCS) yang menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) namun parti itu tetap teguh dengan komitmen untuk menstabilkan politik dan hak rakyat di negeri ini.

Malah Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan untuk terus memperkukuhkan gabungan itu selepas menyertainya pada 22 Mei lalu.

Iklan
Iklan

"Walaupun terdapat laporan sinis dan kebimbangan luar terhadap kemasukan kami ke dalam GRS, tetapi apa yang kita tawarkan kepada GRS adalah politik kestabilan yang diterajui oleh parti-parti tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan timbalannya, Datuk Pang Yuk Min sempena Persidangan Agung Keempat PCS di Pusat Komersial dan Antarabangsa (ITCC) di sini, pada Ahad.

Iklan

Katanya lagi, kerjasama antara parti komponen GRS akan meningkatkan lagi suara kolektif dan kredibiliti semua parti dalam GRS termasuk PCS dalam membawa aspirasi dan perjuangan hak Sabah kepada kerajaan Persekutuan.

"Komitmen tidak berbelah bahagi PCS untuk berkhidmat kepada rakyat dan memperjuangkan hak Sabah, khususnya pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," tegasnya.

Iklan

Mengimbau semula penubuhan PCS yang dipimpinnya sejak tahun 2020, Anifah berkata, semangat juang parti masih utuh walaupun tidak memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan beberapa pemimpin telahpun meninggalkan parti.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kemajuan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur hanya dapat dicapai jika hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dipenuhi.

"Kewajipan Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil Persekutuan yang dikutip di negeri ini akan meningkatkan projek pembangunan tempatan dengan pesat," katanya.