Malaysia alami kelunturan terumbu karang besar-besaran - DOF

Iklan
DOF sedang memantau rapi beberapa tapak Kepulauan Taman Laut. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Terumbu karang di negara ini sedang mengalami isu kelunturan besar-besaran ‘mass coral bleaching’ akibat peningkatan suhu permukaan laut yang boleh memberi implikasi serius terhadap biodiversiti marin, perikanan terumbu karang dan pelancongan di Malaysia

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, perkara itu dikenal pasti melalui bantuan dan laporan diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, operator selam skuba dan penyelam skuba serta pemantauan kelunturan karang yang dijalankan NGO dan penyelidik tempatan.

Iklan
Iklan

DOF juga sedang memantau rapi beberapa tapak Kepulauan Taman Laut susulan lebih 50 peratus terumbu karang terjejas dan berdasarkan tinjauan dijalankan dari April hingga Jun, antara kawasan itu ialah Pulau Payar, Kedah; Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tenggol di Terengganu; Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Pemanggil, Johor.

"Kebanyakan terumbu yang terjejas berada di perairan cetek kurang 10 meter. Tapak ini sedang dipantau rapi oleh DOF dan pelbagai pihak untuk mengesan perubahan dalam situasi kelunturan,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Kelunturan karang adalah tindak balas semula jadi karang terhadap tekanan alam sekitar sehingga menyebabkan batu karang menjadi putih manakala kelunturan secara besar-besaran merujuk kepada kelunturan berskala besar pelbagai spesies batu karang di kawasan luas disebabkan kenaikan suhu air laut melebihi paras purata normal suhu tahunan dalam tempoh berpanjangan.

Mengenai tindak balas menangani perkara itu, DOF bekerjasama dengan wakil dari Sabah dan Sarawak serta penyelidik tempatan dan NGO untuk menubuhkan Malaysia Coral Bleaching Response Committee (MCBRC) bagi mengumpul maklumat dan mengambil tindakan terhadap kelunturan karang.

Iklan

"Jika kelunturan melebihi 80 peratus, tindakan intervensi lanjut pengurusan mungkin termasuk sekatan akses sementara untuk melindungi terumbu yang terjejas.

"Bagaimanapun, DOF memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa seboleh-bolehnya, gangguan kepada aktiviti pelancongan yang disebabkan oleh intervensi pengurusan ini akan diminimumkan,” menurut kenyataan itu.

Menurut DOF, ia untuk mengurangkan tekanan yang disebabkan oleh terumbu yang sudah lemah bagi memastikan kelangsungan hidup organisma marin pada masa depan.

DOF turut menggesa semua pihak melaporkan sebarang kemunculan kelunturan karang serta menyeru penglibatan awam untuk membantu bersama-sama meminimakan kesan kelunturan karang.

Pengusaha pelancongan di pulau-pulau Taman Laut juga digalakkan mengawal jumlah pelancong yang terlibat dalam aktiviti rekreasi air bagi mengurangkan tekanan ke atas terumbu karang.

"Pelancong harus mengelak kawasan yang sesak dan sebarang sentuhan fizikal terhadap batu karang semasa aktiviti air, mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai, membuang sisa sampah dengan betul dan melaporkan penemuan kelunturan karang kepada DOF atau pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Proses pemulihan karang yang mengalami kelunturan boleh mengambil masa beberapa minggu sehingga beberapa bulan, namun usaha pemantauan akan dijalankan secara berterusan.

"Pelan tindakan telah disediakan dan maklumat lanjut akan diberikan apabila ia tersedia,” menurut kenyataan itu.

Kepentingan ekonomi dan ekologi terumbu karang adalah untuk menyediakan habitat dan tempat pembiakan sehingga satu pertiga daripada spesies marin dan menurut kajian DOF, nilai ekonomi Taman Laut yang sebahagian besar dikelilingi ekosistem terumbu karang berjumlah RM8.7 bilion setahun melalui pelbagai perkhidmatan ekosistem. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!