KOTA BHARU - Sekumpulan penduduk di negeri ini tampil membuat laporan polis dan mendakwa wujud lebih 40 premis kedai yang dipercayai menjadi dalang kegiatan perjudian dalam talian.
Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 5.24 petang Ahad.
Wakil penduduk, Noor Hafsham Noor Halim, 36, berkata, premis kedai terbabit dipercayai menjalankan penjualan tambah nilai judi dalam talian dengan berselindung di sebalik kedai menjual aksesori telefon bimbit.
Menurutnya, lokasi-lokasi kewujudan premis tersebut didakwa antaranya terdapat di daerah Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah.
"Saya jangkakan premis ini sudah enam tahun wujud atau sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19.
"Sejak akhir-akhir ini makin aktif dan saya sendiri melakukan penyamaran sebagai pembeli selain mempunyai bukti rakaman video adanya kegiatan terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pekarangan IPD berkenaan pada Ahad.
Noor Hafsham memberitahu, laporan terbabit dibuat bertujuan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi membanteras jenayah tersebut secara habis-habisan.
Katanya, senarai lokasi premis yang dipercayai terbabit menjalankan kegiatan tersebut turut diberikan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Ramai anak muda yang terjebak dan berhabis duit gaji bermain judi dalam talian.
"Jadi, kami mahu polis bertindak membanteras kegiatan ini hingga kegiatan mereka lingkup dan tidak terus merosakkan masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun yang dihubungi pemberita berkata, pihaknya akan membuat risikan berkait dakwaan terbabit.
Beliau sebelum itu pada sidang akhbar hari sama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan mendedahkan daerah Kota Bharu tertinggi aktiviti judi dalam talian di negeri ini dengan rekod tindakan polis sebanyak 37 kertas siasatan dibuka sepanjang tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut sebanyak 27 kes sudah berdepan prosiding pendakwaan di mahkamah selain lapan kes selesai manakala dua lagi dalam siasatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!