SHAH ALAM - Lebih 8,000 orang menyokong kempen ‘Katakan Tidak kepada BlackRock’ dengan menandatangani petisyen dalam talian sejak tiga bulan lalu.
Kempen yang dilancarkan kumpulan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia menerusi laman web www.change.org pada 29 Februari lalu itu bertujuan mendesak kerajaan membatalkan serta-merta rancangan menjual pegangan saham dalam MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat pelaburan milik BlackRock yang merupakan penyokong komplot genosid Israel di Palestin.
Setakat jam 5 petang Ahad, petisyen tersebut sudah mengumpulkan sebanyak 8,032 tandatangan dan menyasarkan untuk meraih lebih 10,000 sokongan.
"BlackRock adalah satu syarikat pelaburan yang beribu pejabat di New York dan mempunyai pelaburan besar di dalam syarikat-syarikat pertahanan di Amerika Syarikat.
"Mereka menghasilkan senjata yang digunakan oleh Israel untuk membunuh rakyat Palestin. BlackRock ini juga adalah syarikat pembekal dana yang meraih keuntungan besar daripada genosid tersebut,” tulis petisyen itu.
BDS sebelum ini melancarkan kempen boikot ke atas produk dan jenama terkenal di Malaysia yang ada kaitan dengan Israel.
Antara syarikat pertahanan di AS yang mempunyai kaitan dengan BlackRock ialah Lockheed Martin, RTX, Northrop Grumman, Boeing dan General Dynamics.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!