Murahnya harga kasih sayang!

Iklan
Kes bunuh melibatkan ahli keluarga terdekat yang semakin banyak dilaporkan akhir-akhir ini amat membimbangkan.

MAJORITI rakyat Malaysia kini pastinya lebih tertumpu kepada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang selepas proses penamaan calon selesai Sabtu lalu.

Tidak dapat dinafikan PRK ini penting kerana menjadi medan kerajaan Madani membuktikan mereka semakin diterima rakyat dengan memenangi pilihan raya kali ini manakala pembangkang mahu membuktikan Gelombang Hijau masih wujud dan memberi isyarat penting kepada kerajaan bahawa blok itu masih diterima rakyat.

Iklan
Iklan

Namun sebaliknya bagi penulis. Ini kerana tumpuan kini lebih tersorot kepada kejadian bunuh melibatkan ahli keluarga yang tiba-tiba sahaja semakin kerap berlaku.

Kes bunuh melibatkan ahli keluarga terdekat yang semakin banyak dilaporkan di dada akhbar akhir-akhir ini sebenarnya amat membimbangkan.

Iklan

Bermula pada 7 Jun lalu, seorang wanita maut dibunuh suaminya di rumah mereka di Bandar Botanik, Klang.

Mangsa yang berusia 28 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan.

Iklan

Empat hari kemudian iaitu pada 11 Jun, pasangan suami isteri ditahan polis di Ipoh kerana disyaki mendera anak angkat perempuan mereka berusia lima tahun hingga maut.

Sehari kemudian, ada dua kes yang berlaku di Perak. Kes pertama seorang wanita ditemukan maut dipercayai ditikam suaminya di Kampung Simee, Ipoh.

Difahamkan mangsa berusia 48 tahun itu ditikam beberapa kali oleh suspek yang berusia 56 tahun ketika berlaku pertengkaran.

Kejadian sekitar jam 8 pagi itu turut disaksikan oleh anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia 12 tahun.

Kemudian seorang wanita warga emas ditemukan maut dengan kesan kecederaan di kepala di Anjung Bercham Utara, Ipoh.

Mangsa yang dianggarkan berusia 60-an itu ditemukan dalam keadaan tertiarap di belakang pintu ruang tamu rumah dan anak mangsa ditahan bagi membantu siasatan.

Terkini pada 20 Jun lalu di Batu Gajah, Perak, seorang wanita maut ditikam suaminya sendiri di sebuah bilik hotel.

Mangsa yang berusia 32 tahun ditemui dengan beberapa kesan tikaman pisau.

Motif pembunuhan dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasakh walaupun telah dipujuk.

Kes pembunuhan seperti ini sudah tentu membuatkan ramai yang tertanya-tanya apakah punca atau pendorong suspek bertindak kejam sedangkan yang diragut nyawa itu adalah ahli keluarga sendiri.

Adakah ia disebabkan tekanan hidup atau sebenarnya suspek mengalami gangguan mental?

Mengikut portal MyHealth, penyakit mental adalah penyakit melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada tujuh penduduk di Asia Tenggara hidup dengan masalah kesihatan mental dan ramai daripada mereka tidak menerima rawatan tepat pada masanya.

Namun begitu, setiap penyakit pasti ada ubatnya kecuali kematian. Kemajuan dalam bidang perubatan moden telah membolehkan penemuan ubat-ubatan yang lebih berkesan dalam merawat penyakit mental.

Hampir semua ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mental mengambil masa sebelum kesan positifnya boleh dilihat. Kesabaran meneruskan pengambilan ubat secara konsisten amat digalakkan.

Selain ubat psikotropik, pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, pendidikan psikologi, terapi pemulihan cara kerja dan pemulihan psiko-sosial telah terbukti sama pentingnya.

Sesiapa yang merasakan diri mereka mula berubah dari segi kesihatan mental wajar mendapatkan bantuan di semua hospital dan klinik kesihatan di Malaysia yang mempunyai anggota dilatih untuk memberi rawatan.

Janganlah kita membiarkan penyakit mental ini semakin berleluasa kerana natijahnya amat menyakitkan dan memilukan.

* Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah penyunting SInar Harian.