Selesaikan masalah air jadi keutamaan dua calon PRK Sungai Bakap

Iklan
Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai masalah air yang membelenggu penduduk Sungai Bakap.

SUNGAI BAKAP - Isu air yang membelenggu penduduk Sungai Bakap sejak sekian lama menjadi fokus utama kedua-dua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap.

Bagi mereka, permasalahan itu akan cuba diatasi dengan sabaik mungkin selepas mandat dan kepercayaan diberikan oleh pengundi pada 6 Julai nanti.

Iklan
Iklan

Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail berkata, masalah gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk di Sungai Bakap khusus di kawasan Mukim 5 telah berlarutan sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, isu berkenaan antara perkara yang diperjuangkan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latif ketika PN berjaya mengambil alih kerusi berkenaan dari Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.

Iklan

Abidin berkata, perjuangan itu akan diteruskan olehnya bagi memastikan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk dapat dipulihkan, sekali gus mengembalikan hak mereka untuk menikmati keperluan asas itu dengan sebaiknya.

"Memang isu air sahaja yang sering ditimbulkan orang ramai sepanjang dua hari berkempen, pastinya ini antara tekad saya untuk selesaikan masalah yang sudah sekian lama dihadapi penduduk Sungai Bakap," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Iklan

Ujar beliau, melalui maklum balas yang diberikan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), isu ini akan dapat diselesaikan pada 2028 dan penduduk perlu berdepan dengan sebarang kemungkinan sepanjang tempoh empat tahun lagi.

Sementara itu, bagi calon PH, Dr Joohari Ariffin berkata, sepanjang kempen bermula antara masalah yang sering dibangkitkan adalah berkaitan prasarana khususnya isu bekalan air dan banjir kilat yang membelenggu penduduk di Sungai Bakap.

Beliau berkata, masalah berkenaan air bukanlah isu baharu, sebaliknya ia juga pernah menjadi fokus pemimpin terdahulu.

"Masalah air adalah masalah yang dah panjang, saya rasa bukan isu ni sahaja saya cuba atasi tetapi pemimpin sebelum ini juga berusaha mencari penyelesaian,

"Saya percaya sekiranya mandat diberikan isu air ini akan menjadi keutamaan untuk saya atasi dan akan terus beriltizam untuk selesaikan secara serius," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian pernah melaporkan penderitaan penduduk di Mukim 5, Seberang Perai Selatan (SPS) yang terpaksa berdepan dengan masalah bekalan air sejak enam tahun lalu.

Mereka yang ditemui mendakwa kegagalan pihak berkaitan menangani isu berkenaan telah menjejaskan kualiti kehidupan mereka malah lebih membangkitkan kemarahan penduduk, gangguan bekalan air sering berlaku ketika musim perayaan.

Apa yang menyedihkan,meskipun lapan pelan kontingensi telah dibuat termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Kedua Sungai Kerian namun mereka mendakwa ia langsung tidak memberi kesan dan perubahan positif terhadap isu air yang berlarutan sejak 2018 lagi.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.