ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengambil langkah berjaga-jaga di pintu sempadan Malaysia-Thailand susulan penularan koronavirus di negara jiran itu.
Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, saringan kesihatan dilakukan terhadap pelancong yang memasuki negeri ini melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
"Petugas Jabatan Kesihatan (JKN) di pintu sempadan menjalankan pemeriksaan rapi bagi mengesan individu yang mempunyai simptom demam.
"Pemeriksaan lanjut dan lebih terperinci akan dilakukan sekiranya terdapat individu yang mengalami demam, namun setakat ini tiada rekod yang menunjukkan kes koronavirus di kesan di pintu sempadan negeri ini,” katanya hari ini.
Menurutnya, JKN tidak bercadang menambah kakitangannya di Kompleks ICQS, namun ia akan dipertimbangkan jika terdapat penambahan kes demam ketika saringan dilakukan.
"Pengunjung yang diperiksa perlu menjalani pemeriksaan skrin pengimbas suhu dan mereka yang dikesan mempunyai simptom demam dan suhu melebihi 37 darjah Celsius akan disaring dan dikuarantin sebelum dirujuk ke hospital berdekatan.
"Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati menjaga kesihatan seharian terutama golongan berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas. Orang ramai juga boleh memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan,” katanya.
Katanya, buat masa ini orang ramai juga dinasihatkan tidak mengunjungi negara yang disahkan dijangkiti koronavirus seperti Jepun dan China.
"Langkah pencegahan awal perlu diambil untuk elak risiko jangkitan, amalkan sentiasa mencuci tangan untuk mengelakkan kuman merebak, ikuti etika yang betul ketika batuk di khalayak ramai serta segera dapatkan rawatan jika demam,” katanya.
Setakat semalam, Thailand mengesan empat kes koronavirus termasuk seorang wanita warga tempatan berusia 73 tahun yang pernah melawat Wuhan, China iaitu lokasi virus itu bermula.