Bot penumpang bawa 50 karton rokok, nakhoda tiada insurans ditahan

Iklan
Antara kotak berisi karton rokok yang dirampas susulan penahanan sebuah bot penumpang di perairan Tanjung Harapan dekat sini pada Sabtu.

PELABUHAN KLANG - Membawa 50 karton rokok tanpa kebenaran selain nakhoda tidak memiliki sijil insuran yang sah antara kesalahan dikesan susulan penahanan sebuah bot penumpang di perairan Tanjung Harapan dekat sini pada Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan pada jam 12.30 tengah hari oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Ehsan dan Op Tiris.

Iklan
Iklan

"Pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang nakhoda dan seorang kru bertindak mengambil 10 penumpang dari kapal dagang yang bersauh untuk di bawa ke jeti penumpang Pulau Ketam.

"Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati nakhoda itu gagal mengemukakan sijil insurans yang sah dan membawa 50 karton rokok tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk rokok tanpa dokumen yang sah."Seramai 10 penumpang yang terdiri daripada empat warga Filipina, lima warga China dan seorang warga Taiwan serta nakhoda dan kru dalam lingkungan umur 25 hingga 59 tahun ditahan manakala 50 karton rokok dirampas sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

"Maritim Malaysia sentiasa memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya di Perairan Selangor sentiasa terpelihara," katanya.

Iklan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!