Deejay mengaku tidak salah halang tugas polis

Iklan
Wei Kian (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Mela, pada Isnin.

MELAKA - Seorang deejay kelab malam didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin atas pertuduhan menghalang tugas polis pada Jun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Ngo Wei Kian, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairunnisak Hassan namun memberitahu dia telah dipukul oleh empat anggota polis.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menghalang tugas polis daripada menjalankan kewajipan sebagai penjawat awam yang sah di sisi undang-undang dengan memecut motokar dinaiki untuk melarikan diri setelah diarahkan berhenti oleh Inspektor, Mohamad Asyraf Mohamad Mokhtar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 1.20 pagi di Tengkera, di sini, pada 21 Jun lalu.

Iklan

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Iklan

Tertuduh diwakili peguam Anthony Cassian berhujah, ketika kejadian tertuduh telah menaiki kereta bersama abangnya dan ditahan dalam sekatan jalan raya yang dijalankan pihak polis.

Bagaimanapun, sebaik keluar dari kereta, dia ditolak hingga jatuh ke atas jalan sebelum dipukul oleh ke empat-empat anggota polis berkenaan.

"Kecederaan dialami tertuduh juga boleh dilihat pada hari ini dan dia telah direman selama empat hari tanpa dibenarkan berjumpa dengan keluarga," hujahnya lagi.

Tambahnya, mengikut pertuduhan tertuduh didakwa telah memecut kenderaan sedangkan ketika kejadian dia hanyalah penumpang.

Katanya lagi, susulan kejadian itu anak guamnya juga akan membuat laporan di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dalam masa terdekat dan memohon jaminan rendah dapat diberikan oleh pihak mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 24 Julai depan bagi serahan dokumen serta sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!