KLANG - Seramai 384 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi dijalankan di kawasan perumahan flat Jalan Sultan Abdul Samad di Bandar Sultan Suleiman pada Ahad.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi dijalankan pihaknya bersama pelbagai agensi melibatkan kekuatan seramai 298 anggota dan pegawai.
"Kawasan serbuan ini melibatkan empat zon antaranya melibatkan lot rumah kedai premis perniagaan, kawasan padang permainan dan lot rumah kediaman meliputi kawasan flat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pemeriksaan dijalankan melibatkan 1,700 warga asing dan hasil pemeriksaan kemudiannya menahan 384 PATI.
"Antara ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal, Myanmar Indonesia dan Pakistan.
"Kesalahan dikesan ketika pemeriksaan dijalankan melibatkan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, tinggal di Malaysia setelah pas atau permit tamat atau dibatalkan serta pelbagai kesalahan lain," katanya.
Menurutnya, kesemua warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen 19/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Mereka kemudiannya dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor bagi tujuan saringan dan semakan dokumen dan pas sebelum memuktamadkan proses tangkapan berdasarkan kesalahan," katanya.
Pada Ahad, Jabatan Imigresen Selangor, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta beberapa agensi lain menjalankan serbuan di kawasan perumahan flat berkenaan.
Pemeriksaan dijalankan melibatkan 1,700 warga asing selain pelbagai kesalahan imigresen dikesan melibatkan tinggal lebih masa, tidak mematuhi syarat sah permit dan pelbagai kesalahan lain.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!