SEBELUM menunaikan solat fardu, sebaiknya pastikan diri dalam keadaan tenang dan selesa supaya kita boleh fokus untuk mengerjakan kewajipan itu.
Bukan apa, adakalanya terdapat individu dilihat terlalu tergopoh-gapah untuk menghadap ALLAH sehinggakan terlupa membuka kipas atau menutup televisyen sebelum memulakan ibadah berkenaan.
Ketika sedang mendirikan solat, berlaku banyak ‘gangguan’ disebabkan panas dan keadaan bising di sekelilingnya. Maka, ‘jalan’ terakhir, ada orang membatalkan solat gara-gara mahu membuka kipas atau menutup televisyen.
Ketahuilah bahawa kedua-dua alasan itu sama sekali tidak boleh menjadi ‘tiket’ untuk seseorang membatalkan sembahyang yang dikerjakannya.
Beliau berhujah, para ulama membezakan keadaan orang yang ingin menghentikan solat dengan melihat sudut sama ada ia merupakan sembahyang fardu ataupun sunat dan ia disebabkan oleh uzur syarie ataupun bukan.
Jika melibatkan solat fardu lima waktu, katanya, haram hukumnya seseorang yang tanpa uzur syarie membatalkan solatnya.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kepada Rasul ALLAH dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!” (Surah Muhammad: 33)
"Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, disebut bahawa membatalkan ibadah wajib setelah memulakannya tanpa sebab yang membolehkannya melakukan demikian adalah tidak dibolehkan dengan sepakat para fuqaha.
"Ini kerana berbuat demikian merupakan satu perbuatan sia-sia dan bersalahan dengan kehormatan solat,” tegasnya sebagaimana dipetik menerusi artikel #5810: Menghentikan Solat untuk Membuka Kipas/ Penghawa Dingin di laman web Maktabah Albakri.
Pun demikian dalam keadaan kecemasan dan terdesak seperti menyelamatkan diri atau orang lain daripada bahaya misalnya, maka Dr Zulkifli berkata, dibolehkan untuk kita membatalkan ibadah dilakukan.
Ia berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebut ‘keadaan yang darurat itu mengharuskan perbuatan-perbuatan yang haram’.
"Termasuk juga dalam sebab yang dibenarkan syarak adalah mengejutkan orang yang terlalai atau tertidur yang sedang dihampiri oleh ular berbisa yang tidak boleh untuk diberikan peringatan dengan menyebut tasbih sahaja,” terangnya panjang lebar.
Bukan itu sahaja, agamawan tersebut menjelaskan, orang yang hendak diselamatkan tadi termasuklah golongan bukan Islam yang dihormati darahnya.
"Begitu juga wajib untuk menyelamatkan orang yang lemas atau terbakar, menurut kitab Kassyaf al-Qina’. Tidak kiralah sama ada ia melibatkan solat fardu sunat atau fardu walaupun waktunya telah singkat.
"Ini kerana ia boleh diganti dengan qada (solat), berbeza halnya dengan orang yang lemas dan seumpamanya. Sekiranya seseorang enggan membatalkan solatnya untuk menyelamatkan orang lemas itu, maka dia dikira sebagai berdosa,” katanya.
"Jika seseorang sedang mendirikan solat sunat, maka dia dibolehkan untuk menghentikan solatnya bagi perkara-perkara yang penting termasuklah menutup televisyen kerana bunyi bising atau membuka kipas disebabkan panas.
"Ditambah pula kedua-dua perkara itu boleh mengganggu fokus dan kekhusyukan solat seseorang,” katanya.
"Ia supaya kita dapat menjaga kehormatan solat dan tidak mempermain-mainkan ibadah,” ungkapnya.