Wanita dibunuh suami: 12 saksi termasuk ibu mangsa diambil keterangan

Iklan
Laporan Sinar Harian Jumaat lalu.

IPOH - Seramai 12 individu telah diambil keterangan membabitkan kes pembunuhan seorang wanita yang maut ditikam suami dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Batu Gajah pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, kesemua individu itu melibatkan saksi-saksi kejadian termasuk ibu mangsa berusia 56 tahun yang dipanggil bagi membantu siasatan.

Iklan
Iklan

"Tempoh reman terhadap suspek utama kes itu mungkin akan disambung bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Sebaik sahaja kertas siasatan lengkap, kita akan serah kepada timbalan pendakwa raya bagi tujuan pendakwaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Iklan

Dalam kejadian itu, jasad mangsa ditemui polis dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata pisau di bilik hotel berkenaan.

Perkara itu terbongkar selepas suspek berusia 37 tahun hadir menyerah diri ke Balai Polis Batu Gajah sekitar jam 2 petang dan mengaku telah membunuh isterinya.

Iklan

Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis memaklumkan, suspek dan mangsa hadir ke hotel itu secara berasingan, namun menginap di bilik yang sama sehari sebelum kejadian.

Motif pembunuhan dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasakh walaupun telah dipujuk.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mangsa, Nisya Syahkila Shaharun, 32, pernah mengadu dan membuat laporan polis selepas beberapa kali menerima ugutan jenayah termasuk bunuh daripada suaminya itu.

Kali terakhir mangsa membuat laporan polis sekitar Mei lepas yang membawa kepada penahanan lelaki terbabit di Klang, Selangor, namun kes tidak dapat diteruskan kerana dikatakan tidak cukup bukti.

Ugutan menerusi panggilan telefon, WhatsApp dan pesanan suara sejak lebih setahun lalu diterima selepas mangsa mengambil keputusan untuk bercerai, namun tidak dipersetujui oleh suaminya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!