Rangka manusia ditemui disyaki milik pelajar hilang sebulan lalu

Iklan
Pasukan forensik menjalankan siasatan di lokasi penemuan rangka manusia di tepi tebing Jalan Yong Peng, berdekatan Kompleks Penghulu Linau, pada Isnin.

BATU PAHAT - Penemuan rangka manusia di tepi tebing Jalan Yong Peng, berdekatan Kompleks Penghulu Linau dekat sini pada Isnin seolah-olah memberi petunjuk terhadap kes seorang remaja yang hilang sejak sebulan lalu.

Turut ditemui di lokasi sebuah motosikal yang hampir sama digunakan Hafiz Fauzan Abd Halid, 17, berdasarkan nombor pendaftaran seperti dimaklumkan selepas kehilangannya.

Iklan
Iklan

Motosikal terbabit ditemui tersangkut celah batang pokok bersebelahan kebun durian dan turut dijumpai jaket serta topi keledar.

Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai penemuan rangka terbabit.

Iklan

Hafiz Fauzan adalah pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja dilaporkan hilang selepas keluar rumah pada malam 25 Mei lalu, untuk menonton bola sepak bersama rakannya di Parit Ju, Tongkang Pechah.

Bapanya Abd Halid Sugiman, 44, dilaporkan berusaha mencarinya termasuk meninjau di beberapa jalan yang mungkin dilalui sepanjang Jalan Tongkang Pechah ke Parit Raja dan Jalan Sri Bengkal, namun tiada petunjuk diperoleh.

Iklan

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan siasatan masih dilakukan pasukan forensik di lokasi penemuan rangka tersebut.

Jelasnya, pengesahan identiti rangka terbabit akan dilakukan selepas mendapat laporan dari forensik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!