EU lancar siasatan ke atas App Store

Iklan
Suruhanjaya Eropah melancarkan siasatan terhadap dakwaan amalan antipersaingan dilakukan oleh Apple menerusi aplikasi 'App Store'. Foto Reuters

BRUSSELS - Suruhanjaya Eropah pada Isnin melancarkan siasatan terhadap dakwaan amalan antipersaingan dilakukan oleh Apple menerusi aplikasi 'App Store', lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memaklumkan ia akan meneliti amalan gergasi teknologi itu mengenakan bayaran kepada gedung aplikasi alternatif dan pembangun aplikasi setiap kali pengguna iPhone memasang perisian mereka.

Iklan
Iklan

Ia juga sedang meneliti langkah-langkah yang perlu dilalui oleh pengguna peranti Apple untuk menggunakan gedung aplikasi alternatif, serta kriteria kelayakan Apple untuk pembangun menyediakan aplikasi iPhone melalui laman sesawang, dan bukannya melalui App Store.

Siasatan ini berkaitan dengan Akta Pasaran Digital (DMA) Kesatuan Eropah, yang mengawal tingkah laku 'gatekeeper' digital, iaitu syarikat yang memegang kedudukan yang kuat dan kukuh dalam ekonomi digital EU, bertindak sebagai perantara antara ramai pengguna dan perniagaan.

Iklan

Suruhanjaya itu juga mengumumkan bahawa ia telah menghantar 'pandangan awal' kepada Apple bahawa syarikat itu melanggar DMA dengan menghalang pembangun daripada mengarahkan pengguna dengan bebas di luar ekosistem App Store.

Ia merupakan sebahagian daripada siasatan yang dibuka pada Mac. Pandangan itu bukan muktamad. - Bernama-dpa

Iklan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!