Malaysia sedia anjur AUG 2026

Iklan
Mustapha (kanan) mendengar penerangan daripada ketua kontinjen negara ke AUG Surabaya-Malang 2024, Suhairi Ismail pada Isnin. Foto Sukan IPT

MALAYSIA menyatakan kesiapsediaan untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) Kuala Lumpur 2026.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kementerian itu telah mendapat lampu hijau Kabinet bagi penganjuran temasya sukan itu pada Khamis lalu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun jelas Mustapha, keputusan muktamad akan diketahui selepas Mesyuarat Teknikal Majlis Sukan Universiti ASEAN pada Selasa.

"Mesyuarat pada esok di Surabaya akan memuktamadkan keputusan akhir, kementerian tahu keputusan, malah kerajaan sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah.

Iklan

"Dari segi hospitaliti, sememangnya kita mahu memastikan Malaysia menjadi tuan rumah yang terbaik kepada penganjuran di peringkat ASEAN.

"Sejujurnya, kita juga mengambil pengalaman daripada temasya AUG Surabaya-Malang 2024, sebagai input bagi memastikan penganjuran berlangsung sempurna dan tahap terbaik," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Iklan

Mustapha berkata demikian selepas Majlis beramah mesra bersama kontinjen negara yang menggalas cabaran di AUG 2024 di Surabaya.

Pada masa sama jelas Mustapha, penganjuran edisi 2026 itu ibarat serampang dua mata ketika Malaysia dalam persiapan untuk menjadi tuan rumah satu lagi temasya sukan Asia Tenggara, Sukan SEA 2027.

Bagi tujuan itu jelasnya, kementerian juga memberi komitmen menaik taraf serta menambah baik fasiliti dan venue sebelum penganjuran temasya sukan berprestij berkenaan.

"Kementerian juga bertekad memastikan segala kemudahan sukan berada tahap terbaik, tanpa aduan dalam kalangan atlet yang bertanding," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!