DOHA - Bekas tahanan Teluk Guantanamo mendedahkan rejim Zionis menggunakan taktik penyeksaan yang sama terhadap tahanan Palestin ketika mengimbau semula penderitaan dialaminya sewaktu ditahan di kemudahan Amerika Syarikat (AS) tersebut.
Asadullah Haroon ditempatkan di penjara terletak di Cuba tanpa dikenakan sebarang dakwaan selama 16 tahun susulan penahanannya pada 2007.
"Tahanan Palestin menerima layanan yang serupa. Saya dipukul tanpa belas kasihan dan diseksa selama beberapa hari.
"Ramai tahanan turut digigit anjing. Kami hanya diberikan sedikit rawatan perubatan,” lapor Al Jazeera memetik kenyataannya.
"Penyeksaan mental paling teruk berbanding fizikal. Saya percaya tiada banyak perbezaan dalam bentuk penderaan fizikal terhadap tahanan Palestin, Guantanamo, Bagram dan Abu Ghraib.
"Individu yang dilabel sebagai pengganas tidak diberikan hak untuk mempertahankan diri. Ia jelas penindasan yang paling teruk. Tidak syak lagi ia penderaan sama. Saya percaya ia adalah idea Amerika Syarikat (AS) dan Israel hanya melaksanakannya,” katanya.
Haroon bagaimanapun memenangi kes terhadap Washington kerana pemenjaraan secara haram pada 2021.
Bekas tahanan Palestin, Sheikh Talal Abdulrahman yang pernah meringkuk selama 18 tahun di penjara Israel juga membuat pengakuan sama menerusi wawancara bersama Press TV.
"Penganiayaan ke atas penduduk Palestin di pusat tahanan rejim Zionis lebih 'dahsyat' berbanding apa yang dihadapi banduan penjara AS,” ujarnya.
ISRAEL TIRU AS
Sejak perang genosid dilancarkan ke atas Genting Gaza pada Oktober lalu, rejim Zionis telah melaksanakan hukuman mati ke atas kira-kira 54 tahanan Palestin.
Data itu diterbitkan Suruhanjaya Hal Ehwal Banduan dan Bekas Tahanan di Gaza.
Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) mendakwa ia turut menerima laporan tentang insiden penahanan beramai-ramai, penderaan tahanan dan mengambil keterangan saksi serta bekas banduan Palestin yang membuktikan penganiayaan dahsyat ke atas golongan tersebut.
Pada akhir April lalu, akhbar Haaretz mendedahkan butiran secara terperinci tentang tahanan Palestin yang dipenjarakan tanpa menjalani perbicaraan.
Laporan itu menyebut tentang tahanan Palestin dipukul berulang kali, diserang anjing, dipaksa mencium bendera Israel dan menghina Nabi Muhammad, akses kepada kemudahan seperti tandas dihadkan serta tidak diberikan makanan mencukupi, dibogelkan dan keganasan sistemik yang dilakukan di tujuh pusat tahanan berbeza di seluruh Israel.
Perbuatan zalim itu turut dirakamkan rejim Zionis.
Layanan tidak berperikemanusiaan itu sama seperti dilakukan terhadap tahanan Iraq dan Afghanistan di penjara Washington seperti Abu Ghraib di mana askar AS mengambil gambar bersama banduan dalam keadaan mengaibkan ketika kejadian menggemparkan komuniti antarabangsa pada 2003.
Peguam dan aktivis hak asasi manusia juga senada bahawa layanan buruk terhadap tahanan Palestin mempunyai ciri jelas yang sama seperti 'gaya penyeksaan' dilakukan AS.
Pada akhir tahun lalu, kumpulan hak asasi manusia berpusat di Geneva, Euro-Med mendakwa sejumlah penjara Israel termasuk kem tentera Sde Teman telah menjadi 'pusat tahanan Guantanamo baharu' yang melakukan penderaan fizikal dan mental secara melampau ke atas tahanan Palestin hingga meragut sejumlah nyawa mangsa, terdiri daripada kalangan warga emas serta penghidap penyakit kronik. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!