Hafidz Roshdi pasrah terus dicemuh

Iklan
Tidak melatah dengan kebencian masyarakat terhadapnya, Hafidz berharap diberi peluang kedua dan lebih diingati kerana kerjayanya. Foto SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

[DIKEMAS KINI] AKTOR Hafidz Roshdi bersikap terbuka sekiranya terus menjadi sasaran cemuhan atau kebencian masyarakat selepas ini.

Jelas bintang berusia 29 tahun itu, dia tidak mampu untuk mengubah pandangan orang lain terhadapnya dan itu adalah sebahagian daripada lumrah kehidupan.

Iklan
Iklan

"Cuma kalau orang tak suka, tetap tak suka dan kita tidak boleh ubah orang untuk suka kita kerana ia adalah lumrah kehidupan.

"Tidak kira apa yang kita buat, pasti akan ada orang membenci kita," ujarnya kepada Sinar Harian.

Iklan

Mengakui sudah reda menerima kecaman dan cemuhan masyarakat, pemilik nama penuh Muhammad Hafidz Roshdi hanya berharap agar tidak ada mana-mana individu melampiaskan amarah kepada kedua ibu bapanya.

Ujar Hafidz, setakat ini ada pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap ibunya.

Iklan

"Ada yang kata ibu saya pernah langgar orang dan kemudian padam bukti pada kamera litar tertutup (CCTV). Ada yang tuduh ibu saya macam-macam.

"Sebagai anak, tentulah saya sedih apabila keluarga terutama ibu dan ayah saya turut 'disentuh' orang.

"Walaupun saya sudah masak dengan ragam industri, tetapi hal melibatkan ibu dan ayah ini sukar untuk diterima," katanya yang tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang.

Peluang kedua

Dalam pada itu, Hafidz meluahkan rasa lega dan merasakan diberi peluang kedua untuk kembali bekerja.

Jelasnya, dia kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri terbitan Global Film Station Sdn Bhd bagi siaran platform over-the-top (OTT), Viu.

"Alhamdulillah selepas hampir setahun tidak dipanggil untuk berlakon, ada juga tawaran untuk saya dan saya berharap ini akan menjadi titik tolak untuk saya kembali aktif dalam dunia lakonan.

Mengakui kesilapan yang berlaku telah memberi kesan kepada kerjaya seninya. Foto SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Semoga masih ada produksi yang mempercayai hasil kerja saya dan memanggil saya untuk berlakon lagi selepas ini," katanya ketika ditemui di Shah Alam pada Ahad.

Hafidz juga berharap penggiat industri tidak mencampurkan adukkan soal kerjaya dan kehidupan peribadinya.

Malah aktor yang mula dikenali menerusi drama bersiri Tundukkan Playboy Itu juga berharap kisah silamnya tidak mempengaruhi mana-mana produksi atau stesen televisyen untuk mengambilnya kembali bekerja.

"Saya tidak pernah menyimpan hasrat untuk meninggalkan dunia lakonan kerana saya suka berlakon daripada dulu.

"Apa yang boleh saya katakan, saya harap apa sahaja perkara negatif dari kehidupan peribadi saya tidak mempengaruhi syarikat produksi atau stesen televisyen.

"Ingat dan nilailah hasil kerja saya," ujarnya.

Sebelum ini, kemelut rumah tangga Hafidz dengan Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, yang dibina pada 2016 menjadi bualan ramai sehingga mereka bercerai pada 27 Julai tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 4.

Hafidz kemudian bernikah buat kali kedua dengan wanita pilihannya, Athira Yuhada pada 15 Disember tahun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!