MOSCOW - Sekurang-kurangnya lapan maut dalam kebakaran sebuah bangunan pejabat berhampiran Moscow, kata Gabenor wilayah Andrey Vorobyov.
Pegawai kecemasan memberitahu agensi berita Tass milik kerajaan, hanya seorang diselamatkan daripada kebakaran di bangunan yang terbakar di Fryazino, kira-kira 25km (15.5 batu) timur laut ibu negara.
Menurut laporan, dua terbunuh selepas terjun dari tingkap, manakala enam lagi maut apabila bahagian dalam pejabat itu runtuh dalam kebakaran, kata Voroyov dalam hantaran di akaun media sosial beliau.
Rakaman yang disiarkan dalam talian menunjukkan asap tebal kelihatan dari tingkat atas bangunan lapan tingkat itu.
Menurut Vorobyov, seorang lelaki berusia 34 tahun telah dibawa ke hospital kerana kecederaan serius, manakala dua anggota bomba turut dirawat kerana kecederaan yang dialami dalam kebakaran itu.
Anggota pasukan perkhidmatan kecemasan tempatan berkata, lelaki itu merupakan satu-satunya orang yang diselamatkan daripada kebakaran itu.
Pegawai pasukan perkhidmatan kecemasan berkata, lebih 130 orang dan dua helikopter sedang berusaha untuk memadamkan kebakaran.
Sehingga kini, pasukan keselamatan belum dapat mengenal pasti punca kebakaran, namun, seorang saksi memberitahu Tass, ia berlaku di tingkat enam sebelum merebak.
Vorobyov berkata, sekitar 30 syarikat menyewa ruang pejabat di bangunan itu, dengan nasib dua pekerja di bangunan itu masih belum diketahui.
Terdapat laporan yang bercanggah mengenai penempatan bangunan berkenaan.
Agensi berita Tass melaporkan, bangunan yang terbakar itu pernah menempatkan Institut Penyelidikan Platan dan industri pertahanan.
Dalam perkembangan sama, Ruselectronics iaitu sebuah organisasi elektronik milik Rusia dalam kenyataan yang diedarkan berkata, bangunan itu telah dimiliki secara persendirian sejak 1990-an.
Bagaimanapun, media pembangkang baru-baru ini melaporkan Platan berpangkalan di bangunan itu selewat-lewatnya 2023. - BBC/Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!