KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita 1,207 unit aksesori telefon berjenama terkenal dipercayai tiruan bernilai RM33,104.
Operasi Bersepadu bersama wakil pemilik Cap Dagangan yang dijalankan selama dua hari pada Ahad dan Isnin itu berjaya merekodkan empat tindakan kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, serbuan serentak di dua lokasi sekitar bandar Kota Bharu membawa kepada rampasan aksesori telefon berjenama terkenal seperti wayar pengecas, adapter dan alat fon telinga.
"Semakan mendapati, kesemua barangan tersebut disyaki melanggar Akta Cap Dagangan 2019.
"Jika sabit kesalahan pemilik premis perniagaan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, manakala individu atau perseorangan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Azman memberitahu, operasi tersebut dijalankan bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan kebenaran dari pemilik cap dagangan berdaftar yang dijual secara atas talian.
Ujarnya, KPDN Kelantan memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang dengan niat melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini, seterusnya akan berhadapan dengan tindakan denda yang tinggi seterusnya dituduh di mahkamah selanjutnya," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!