SHAH ALAM - Malaysia kembali mencapai kedudukan Tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024 setelah kali terakhir berada pada tahap itu tujuh tahun lalu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, kedudukan itu juga meletakkan Malaysia naik satu tahap lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu Tahap 2 Pemerhatian.
"Peningkatan ini adalah amat strategik dan sangat signifikan kerana Malaysia sebelum ini dinilai pada Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist) pada tahun 2023 dan kali terakhir berada di Tahap 2 adalah pada tahun 2017.
"Kejayaan ini adalah hasil usaha pelbagai pihak berkepentingan yang turut memberi sumbangan bermakna dan berterusan dalam menjayakan agenda membanteras pemerdagangan orang di Malaysia," kata kenyataan itu pada Selasa.
Dalam kenyataan sama, KDN menjelaskan, antara pencapaian signifikan yang direkodkan adalah peningkatan bilangan penyiasatan, sabitan kes dengan hukuman yang signifikan, program kesedaran, pendakwaan terhadap penjawat awam, peningkatan pendakwaan kes pemerdagangan buruh, penyaluran peruntukan kepada rumah perlindungan serta peningkatan kelulusan kebenaran bergerak bebas kepada mangsa pemerdagangan orang.
Tambah kenyataan itu, laporan tersebut juga menggariskan 16 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2024 hingga 31 Mac 2025.
"Selain itu, laporan ini juga merekodkan perkara penambahbaikan baharu iaitu memberi perkhidmatan berpaksikan mangsa kepada semua tanpa syarat yang memerlukan penyertaan mereka dalam prosiding jenayah," kata kenyataan itu.
Sehubungan itu menurut KDN, tiga fokus utama telah direncana bagi memandu hala tuju pelaksanaan usaha negara iaitu mempertingkatkan kerjasama antara agensi, memperhebat usaha mengenalpasti dan melindungi mangsa serta menambah baik proses pendakwaan.
"Dalam hubungan ini, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh KDN bersama-sama dengan Kementerian dan Agensi Kerajaan lain beriltizam melaksanakan tindakan dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia termasuklah dalam menangani trend terbaharu melibatkan penipuan pekerjaan dan insiden pekerja terabai," jelas kenyataan itu.
Justeru, KDN dan MAPO terbuka untuk berganding bahu dengan badan bukan Kerajaan (NGO),pertubuhan masyarakat madani (CSO), pertubuhan antarabangsa,perwakilan diplomatik asing, ahli akademik dan pihak majikan dalam menangani isu ini melalui pendekatan menyeluruh negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!