JAMES Rodriguez memacu kemenangan Colombia ketika mengalahkan Paraguay 2-1 dalam aksi pertama Kumpulan D Copa America 2024 di Houstan, pada Selasa.
Kapten Colombia itu menghasilkan dua bantuan gol buat skuad bimbingan Nestor Lorenzo memulakan langkah kanan dengan tiga mata berharga dalam aksi di Stadium NRG tersebut.
Colombia menguasai perlawanan pada separuh masa pertama dan di depan pada minit ke-32 apabila Daniel Munoz menanduk masuk hantaran Rodriguez.
Dia sekali lagi bertindak cemerlang apabila sepakan percumanya 10 minit kemudian disempurnakan dengan tandukan oleh Jefferson Lerma yang melepasi jangkauan penjaga gol Paraguay, Rodrigo Morinigo.
Paraguay kemudian merapatkan jurang selepas rehat menerusi penyerang Brighton, Julio Enciso.
Mereka bagaimanapun gagal mencari gol penyamaan susulan kekebalan benteng pertahanan Colombia yang mengekalkan rekod cemerlang tanpa kalah dalam 24 perlawanan.
Pemain sayap Colombia, Luis Diaz menyifatkan perlawanan tersebut sebagai sukar, namun rakan sepasukan berupaya mempamerkan aksi terbaik untuk menyerap tekanan sekali gus meraih kemenangan pertama.
Menerusi kemenangan itu, Diaz percaya pasukannya mampu melangkah dalam kejohanan tersebut.
"Kami berjaya mendapatkan dua gol yang memberikan kami pendahuluan dan lebih menyukarkan mereka. Kami tetap tenang dan saya tak ragu kami mampu mara lebih jauh di kejohanan ini," katanya.
Kedua-dua pasukan bakal kembali ke padang untuk aksi kedua pada Sabtu dengan Colombia berdepan Costa Rica di Glendale, Arizona, manakala Paraguay akan menentang Brazil di Las Vegas.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!