[VIDEO] PN minta diberi ruang bahas isu BlackRock di Dewan Rakyat

Iklan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya memberi ruang untuk membahaskan isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) di sidang Parlimen.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, saranan itu bertujuan bagi memastikan isu tersebut dapat dikupas dengan lebih lanjut oleh semua wakil rakyat sama ada dari blok pembangkang atau kerajaan.

Iklan
Iklan

"Yang persoal ini bukan sahaja (ahli Parlimen dari) PN, termasuk juga (ahli) dalam Kabinet, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Mohd Shahar Abdullah (Barisan Nasional (BN)-Paya Besar).

"Semua itu orang-orang UMNO, yang duduk dalam kerajaan pun persoalkan juga tetapi kenapa Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak beri laluan,” katanya ketika dalam sidang media di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) berkata, jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penjualan saham Malaysia MAHB kepada syarikat BlackRock di Dewan Rakyat itu disifatkan sebagai tidak lengkap dan mengelirukan.

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal (tengah) ketika dalam sidang media Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut beliau, persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen termasuk Mohd Shahar ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri juga, tidak dijawab secara tuntas.

"Antara hujah keselamatan yang Anwar jelaskan yang kononnya kerana ketua pegawai eksekutif ialah orang Malaysia dan Kementerian Pertahanan masih lagi melindungi sempadan kita, jadi tidak ada timbul sebarang kerisauan melibatkan pemilikan Global Infrastructure Partners (GIP) BlackRock ke atas saham MAHB.

"Beliau tidak menjelaskan kepada umum bahawa sebenarnya dalam kenyataan media GIP dua hari lalu, GIP telah memberi penerangan bahawa dengan adanya pegangan yang mereka miliki nanti dalam MAHB, mereka juga akan terlibat sebagai rakan teknikal dan pengurusan lapangan terbang kita.

"Soal keselamatan yang dibangkitkan oleh Paya Besar (Mohd Shahar), saya dan rakan-rakan lain adalah berhubung dengan data keluar masuk yang ada di lapangan terbang. Ini benda yang kita persoalkan dan tidak dijawab dengan baik oleh Perdana Menteri,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!