KPT nafi kekurangan pelajar STEM punca program kejuruteraan dibekukan

Iklan
Zambry (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek kepada Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed (kanan) dalam program Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Industri E&E pada Selasa.

BAYAN BARU - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan kekurangan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menyebabkan program kejuruteraan kini tidak lagi diakreditasi oleh Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC).

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kementerian sentiasa mencari pendekatan yang lebih luas dan fleksibel yang mana, sistem pendidikan tinggi di Malaysia tidak lagi hanya memfokuskan kepada kampus atau universiti.

Iklan
Iklan

Zambry turut menafikan kualiti program kejuruteraan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak menepati kehendak pasaran menyebabkan program tersebut terpaksa dibekukan.

"Tidak (benar) malah kita mencari pendekatan yang lebih luas dan lebih fleksibel yang mana seperti saya sebutkan tadi dalam libat urus dengan pemain industri bahawa sistem pendidikan kita sekarang ini tidak lagi hanya berteraskan kepada kampus dan universiti.

Iklan

"Sebab itu, kerajaan memperkenalkan Program Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebagai contoh. TVET itu bukan hanya semata-mata program yang bersifat teknikal, bukan kursus yang rendah tarafnya.

"Kita memang ingin menaikkan taraf TVET termasuk dalam bidang kejuruteraan dan teknikal. Jadi kita bukakan ruang itu termasuk untuk mereka daripada aliran kemanusiaan atau aliran sastera yang memperoleh keputusan baik dalam bidang Sains dan Matematik," katanya di Majlis Dialog Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Industri Elektrik dan Elektronik di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir, peneraju industri, dekan-dekan elektrik dan elektronik (E&E) universiti di Malaysia, serta pelajar yang terlibat dalam Inkubator Penyelidikan dan Industri-Infused (MRI3) KPT Universiti Sains Malaysia (USM).

Zambry juga menyaksikan majlis penyerahan replika cek daripada rakan industri kepada USM, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjumlah lebih RM5 juta.

Mengulas lanjut, tambah Zabry, inisiatif berkenaan bertujuan untuk memastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan sains.

"Program Asasi TVET di Politeknik menawarkan peluang kepada pelajar aliran sastera dan kemanusiaan yang cemerlang dalam mata pelajaran sains dan matematik untuk dilatih dan bersedia memasuki industri.

"Pendekatan kreatif ini dijangka dapat menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang dihadapi oleh industri tertentu dalam negara," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, sekurang-kurangnya enam program kejuruteraan di enam IPTS termasuk dua kolej yang bekerjasama dengan dua universiti awam, kini tidak lagi diakreditasi oleh Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC).

Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) yang mendedahkan perkara itu berkata, ia susulan pengambilan pelajar bagi program kejuruteraan yang ditawarkan berkenaan kini beransur-ansur dibeku dan ditamatkan oleh IPTS terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!