Tiada sekolah di Perak tolak DLP - Exco

Iklan
Khairudin (dua dari kiri) turut mengecat bersama-sama pelajar IKBN Seri Iskandar selepas merasmikan Program Cakna@Impak IKBN Seri Iskandar di Dewan Serbaguna Taman Iskandar Perdana, Seri Iskandar di Parit pada Selasa.

PARIT - Tiada institusi pendidikan di Perak yang menolak pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) seperti yang diarahkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, sehingga kini belum ada sebarang isu dibangkitkan oleh sekolah-sekolah di negeri ini melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenai pelaksanaan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana sesi libat urus melibatkan KPM, JPN, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kelas DLP dimulakan di mana-mana sekolah.

"Setakat ini yang saya dapat maklumat daripada JPN Perak tidak ada apa-apa laporan atau isu ada sekolah di Perak yang menolak dan sebagainya.

Iklan

Sementara itu, Khairudin berkata, penerangan lebih jelas mengenai hala tuju proses DLP amat penting dalam memberi kefahaman kepada ibu bapa pelajar yang terlibat.

Sehubungan itu, melalui sesi libat urus yang dilaksanakan, ibu bapa dan penjaga boleh mengemukakan sebarang persoalan atau cadangan untuk dipertimbangkan oleh KPM berkaitan DLP.

Iklan

"Kelas DLP tidak akan berjalan jika pelaksanaannya tidak mendapat persetujuan daripada ibu bapa dan jawatankuasa PIBG.

"Kita percaya KPM akan menyediakan pekeliling dalam menambah baik pelaksanaan kelas DLP selain dapat membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan mementingkan kemahiran dalam subjek Matematik dan Sains," katanya.

Sebelum ini Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim yang mendakwa sekolah elit seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Kolej Tunku Kurshiah dikecualikan peraturan baharu DLP.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa tiada sekolah tertentu termasuk sekolah berasrama penuh dikecualikan dalam garis panduan baharu DLP dan ia wajar dipatuhi semua pihak.

Dalam perkembangan lain hampir 60 pelajar IKBN Seri Iskandar menyertai program berkenaan bergotong-royong membersih serta menceriakan Masjid As-Siddiq serta mengecat dan menjalankan kerja-kerja pendawaian semula Dewan Serbaguna di Taman Iskandar Perdana, di sini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!