Ratusan selongsong telefon dibuang timbul kemarahan orang ramai

Iklan
Ratusan selongsong telefon yang masih boleh digunakan dibuang di tempat pembuangan sampah. Foto Norafidah Zulkifli

KUALA NERUS -"Lebih baik dermakan kepada orang ramai daripada buang ratusan selongsong telefon yang masih boleh digunakan itu di tempat pembuangan sampah," ujar penduduk, Norafidah Zulkifli, 37.

Dia yang juga pemilik butik perkahwinan itu turut melahirkan rasa kesal kerana perbuatan tidak beretika tersebut juga menyebabkan tempat pembuangan sampah di kawasan Dataran Rimba itu berada dalam keadaan tidak terurus selain menimbulkan pemandangan menyakitkan mata.

Iklan
Iklan

"Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam (Isnin), semasa anak saya ingin membuang sampah di tong sampah besar di kawasan itu memaklumkan kepada saya terdapat lebih ratusan selongsong telefon yang masih berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan lagi telah dibuang.

"Jadi saya pun keluar dari butik untuk melihat keadaan itu dan alangkah terkejutnya melihat ratusan selongsong telefon berada dalam keadaan bersepah dan dibuang begitu banyak di sekitar kawasan tong sampah itu.

Iklan

"Dalam fikiran saya, betapa ruginya ia dibuang begitu sahaja. Bukankah lebih baik selongsong telefon itu diberikan kepada orang ramai secara percuma dan bukannya membazir sehingga mencemarkan kawasan itu dengan longgokan casing telefon yang berada dalam keadaan bersepah dan menimbun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Norafidah menyatakan perbuatan tersebut menunjukkan masih terdapat pihak di luar sana yang amalkan tabiat suka membazir selain mencemarkan alam sekitar.

Iklan

"Letak selongsong telefon itu dalam kotak di suatu tempat di mana orang ramai boleh ambilnya secara percuma bukannya dibuang di kawasan tempat membuang sampah dalam keadaan bersepah sehingga menimbulkan pemandangan kurang menyenangkan," ujarnya.

Situasi dikongsi Norafidah di group media sosial Kuala Terengganu Resident mendapat lebih 200 komen yang menganggap perbuatan itu adalah membazir selain mencemarkan alam sekitar.

"Pihak tersebut tidak beretika. Membazir dan buang begitu sahaja di tong sampah. Letaklah di suatu tempat dengan buka meja di mana-mana.

"Boleh uar-uarkan di Facebook. Ada kegunaan lagi casing telefon itu dan dapat juga pahala," kata pengguna Facebook, Zoukk Nana.

"Kalau tak nak...letak secara elok dalam tong sampah. Jadi kerja orang lain nak kutip satu per satu casing telefon itu," ujar pengguna Facebook, Muhammad Shahidan.

"Simpati kepada orang yang kena kutip sampah. Jadi satu hal perlu kaut kesemua casing telefon itu dan kemudian buang dalam tong sampah," ulas pemilik Facebook, Rohasidah Mohd Nor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!