Kastam rampas bonsai, rokok, minuman keras, kipas lebih RM2 juta

Iklan
Norlela (tengah) bersama pegawai menunjukkan pokok bonsai yang dirampas ketika sidang media berkaitan kejayaan menyekat penyeludupan pokok bonsai, rokok, minuman keras dan kipas angin dengan anggaran nilai dan cukai berjumlah RM2.04 juta di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara pada Selasa. Foto Bernama

KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) menumpaskan sindiket penyeludupan pokok bonsai, rokok, minuman keras dan kipas angin bernilai RM2.04 juta menerusi serbuan di sekitar Pelabuhan Klang pada Mei dan awal bulan ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, bagi rampasan pokok bonsai pasukannya menemukan tumbuhan yang dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara Asia Utara itu setelah menyita sebuah kontena di Pelabuhan Utara di sini pada 30 Mei lepas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kontena itu menemukan sejumlah 2,500 pokok bonsai dengan anggaran nilai RM200,000 yang disyaki tidak mempunyai permit import.

"Pokok bonsai adalah barang larangan dan pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import di bawah Butiran 29 (1), Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Iklan

"Sindiket membuat pengikraran tidak benar ke atas dagangan itu sebagai ‘Ornamental plants’ pada Borang Kastam bagi mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa dan kita percaya barangan itu adalah untuk edaran pasaran tempatan," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Norlela (tengah), bersama pegawai menunjukkan rokok yang dirampas semasa sidang media berkaitan kejayaan menyekat penyeludupan pokok bonsai, rokok, minuman keras, dan kipas angin dengan anggaran nilai dan cukai berjumlah RM2.04 juta di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara pada Selasa. Foto Bernama

Bagi kes minuman keras, Norlela berkata pihaknya telah membuat dua serbuan pada tarikh sama di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat melibatkan dua pengimport berbeza dan menemukan 9,691 liter minum keras setelah menyita tiga kontena sejuk beku.

Iklan

Beliau berkata, sindiket menggunakan modus operandi sama dengan menyorokkan barang dagangan yang dipercayai tidak mempunyai permit import bernilai RM167,500 itu di sebalik kotak-kotak mengandungi sayuran bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, seorang wanita warga tempatan berumur lingkungan 50 tahun turun ditahan di lokasi serbuan bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Norlela berkata, pasukannya turut merampas sejumlah 2,983 unit kipas angin jenis 'stand fan' dan 'air circulation fan' bernilai RM133,500 susulan penahanan dua kontena kerana disyaki dibawa masuk tanpa sijil kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga.

Berhubung kes rokok, Norlela berkata, serbuan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat pada 4 Jun lepas telah membawa kepada penemuan 2,058,000 batang rokok dengan anggaran nilai dan cukai berjumlah RM1,539,300.

Beliau berkata, rokok berkenaan telah diikrar sebagai 'Stretch Film' dalam dokumen perkapalan bagi mengelak dikesan JKDM.

Norlela berkata, kesemua kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan jika disabit bersalah boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!