PRK Sungai Bakap: AMK hantar jentera 4 negeri bantu calon

Iklan
Muhammad Kamil (kiri) melawat sebuah rumah ketika Program Ziarah Kasih Madani di Kampung Jenalik Hulu di Padang Rengas pada Selasa.

PADANG RENGAS - Angkatan Muda Keadilan (AMK) sudah mengerahkan jentera daripada empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Selangor bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, arahan sudah dikeluarkan kepada jentera AMK terlibat dengan memberikan tumpuan untuk berada di lapangan secara sepenuh masa dalam tempoh dua minggu kempen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jentera diminta untuk melaksanakan program dan aktiviti berskala kecil yang lebih dekat dengan masyarakat setempat bagi memastikan lebih banyak undi memihak PH dapat diraih.

"Saya ingat dalam baki tempoh seminggu lebih ini kita mampu untuk gemblengkan tenaga dan pastikan kita dapat keluarkan seramai mungkin pengundi. AMK ditugaskan untuk memastikan bahawa kerja-kerja di lapangan itu dapat diselaraskan serta ditingkatkan supaya kita dapat pastikan lebih ramai rakyat keluar mengundi bagi memenangkan calon kita di Sungai Bakap," katanya kepada pemberita sempena Program Ziarah Kasih Madani di Kampung Jenalik Hulu di sini pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, seramai 250 hingga 300 orang jentera AMK yang bertugas setiap hari secara bergilir-gilir untuk memastikan momentum sokongan terhadap calon PH berterusan sehingga hari pengundian nanti.

Berdasarkan rekod, PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Dr Joohari Ariffin, 60, dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, 56.

Iklan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh pengundian PRK DUN Sungai Bakap susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Muhammad Kamil memaklumkan, program Ziarah Kasih Madani yang dilaksanakan di sekitar kawasan Parlimen Padang Rengas itu melibatkan penyaluran peruntukan sebanyak RM11,000 kepada 11 penerima terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.

Menurutnya, dalam program itu juga, beberapa bantuan lain turut dipertimbangkan menerusi peruntukan yang disediakan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.