JBPM pinda Akta Bomba, perkasa peranan PBS

Iklan
JBPM akan membuat penyelarasan pindaan peruntukan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341). Gambar hiasan. Gambar kecil: Datuk Ahmad Izram Osman

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membuat penyelarasan pindaan peruntukan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) bagi membolehkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dapat didaftarkan di bawah jabatan itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPBM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, pendekatan itu adalah salah satu daripada usaha penambahbaikan dan memperkasakan peranan PBS.

Iklan
Iklan

"Ketika ini, pasukan bomba sukarela didaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), tetapi jika didaftar terus di bawah JBPM, usaha ini akan memudahkan pengurusan dan kawalan sepenuhnya oleh pihak bomba.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemantapan Kepimpinan Ketua Zon dan Ketua Balai serta Konvensyen PBS 2024 di sini pada Selasa yang turut dihadiri Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin.

Iklan

Ahmad Izram berkata, setakat ini terdapat 8,398 anggota PBS di seluruh negara melibatkan 369 pasukan dengan jumlah tertinggi di Sabah iaitu 46 pasukan diikuti Kedah 44 dan Perak 41.

"Kita tidak mempunyai sasaran tertentu mengenai jumlah anggota PBS, namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan keanggotaan meningkat setiap tahun, contohnya tahun lepas kita ada 358 pasukan, bertambah menjadi 369 tahun ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata, PBS adalah pasukan barisan kedua JBPM dan menjadi barisan utama di kawasan pedalaman bagi mengambil tindakan awal jika berlaku sebarang bencana.

Mengulas lanjut, Ahmad Izram berkata, langkah lain yang turut diambil termasuk pemberian peruntukan geran kewangan sebanyak RM1.08 juta dan penyediaan perlindungan berkelompok secara percuma kepada anggota PBS sebanyak 600,000 setahun.

Dalam perkembangan lain, beliau mengatakan anggota bomba telah melakukan persiapan awal termasuk mengadakan penyelenggaraan aset dan logistik supaya berada dalam keadaan baik bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!