Microsoft beri harapan baharu kepada golongan terpinggir

Iklan
Program Collective Impact oleh Microsoft telah melengkapkan lebih 280,000 individu dengan kemahiran digital yang relevan dengan industri, memperkukuh kebolehpasaran mereka dan mendorong pemerkasaan individu.

KUALA LUMPUR - Dalam era pendigitalan yang pesat, masih terdapat segelintir golongan masyarakat yang terpinggir yang memerlukan bimbingan untuk beradaptasi dengan teknologi. Baru-baru ini, Microsoft, melalui program Collective Impact di bawah inisiatif Microsoft Skills for Jobs, berusaha merapatkan jurang ini dengan membekalkan kemahiran digital kepada golongan yang memerlukan supaya tidak ada yang ketinggalan.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama organisasi tempatan seperti Inisiatif Biji-biji dan Mereka Academy, yang bukan sahaja bertujuan untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat dilengkapi dengan kemahiran digital, tetapi juga untuk memberikan bimbingan kerjaya bagi golongan terpinggir.

Iklan
Iklan

Sehingga kini, Program Collective Impact telah berjaya membekalkan lebih 280,000 individu dengan kemahiran digital yang relevan dengan industri, memperkukuh kebolehpasaran mereka dan mendorong pemerkasaan individu.

Pada tahun lalu sahaja, lebih 16,000 rakyat Malaysia telah mendapat sokongan untuk bersedia menghadapi dunia pekerjaan.

Iklan

Selain itu, inisiatif ini juga berjaya membuka peluang pekerjaan kepada lebih 5,600 individu dalam sektor seperti peruncitan, pembuatan, dan perkhidmatan.

Program ini turut membantu meningkatkan pendapatan pekerja dalam perniagaan gig sebanyak 15 peratus. Ekonomi gig telah menjadi semakin popular di Malaysia, terutama selepas pandemik wabak Covid-19 yang menyebabkan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar.

Iklan

Melalui kolaborasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), program ini telah dilaksanakan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terpilih di Kuala Lumpur dan Kelantan.

Objektif program ini lebih daripada menawarkan kemahiran digital dan teknikal, malah menyediakan laluan pekerjaan bagi peserta-peserta untuk berkembang maju dalam ekonomi digital.

Bimbingan kerjaya, pemadanan pekerjaan, dan pembelajaran berterusan menjadi tunjang kepada perjalanan transformatif ini.

Memperkasakan ekonomi digital yang inklusif

Untuk merapatkan jurang kemahiran dan menyarakan dunia digitalisasi yang inklusif untuk semua, Program Collective Impact turut diperluaskan untuk membantu orang kelainan upaya (OKU).

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada April 2024, terdapat seramai 703,287 OKU di Malaysia dan hampir 53 peratus daripada mereka boleh diambil untuk bekerja.

Oleh itu, dengan kerjasama Biji-biji Initiative dan Mereka Academy, program bimbingan kemahiran digital untuk OKU telah dilaksanakan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU (PLPP).

Pengurus projeknya Turisaina Tukiman, menjelaskan bahawa 34 OKU fizikal yang menuntut dalam jurusan pengurusan pejabat menyertai program ini yang meliputi bengkel komputer dan kerjaya.

Kata beliau, peserta diberi pendedahan menggunakan perisian seperti Microsoft Word, Excel, dan PowerPoint, serta cara menghasilkan resume dan tatacara untuk menghadapi temuduga kerja.

"Usaha ini bertujuan merapatkan jurang OKU yang sering terpinggir. Kami tidak mahu mereka cepat berputus asa.

"Peluang bimbingan dan kerjaya seperti ini memberi harapan kepada mereka untuk memiliki peluang kerjaya dalam ekonomi digital yang pesat berkembang,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Turisaina lagi, menerusi bengkel kerjaya, peserta diberi tunjuk ajar cara-cara menghasilkan resume dan Curriculum Vitae (CV) yang berkesan, serta kaedah dan cara berhadapan dengan temuduga kerja.

Ujarnya, dengan pendedahan tersebut peserta akhirnya dapat memahami dan menghasilkan resume atau CV yang menyakinkan, yang dapat membantu mereka mencari pekerjaan yang diidamkan.

Maklumat lanjut layari https://www.biji-biji.com/microsoft/skills-for-jobs-malaysia/

Nazrul bangkit semula selepas kemalangan

Nazrul Nafi Nasir, 24, anak kedua daripada empat beradik, pernah mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkan saraf tunjangnya rosak, memaksa beliau menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Anak muda ini kemudiannya berpeluang menyertai program Collective Impact di bawah Microsoft Skills for Jobs semasa menuntut selama setahun dalam jurusan Sijil Pengurusan Pejabat di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan OKU (PLPP) Bangi, bermula dari Jun 2022 hingga Jun 2023.

Menurut Nazrul, program ini telah memberikannya lebih keyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai.

Nazrul beri penerangan berkenaan kepada pelawat yang datang ke reruai Mereka Academy di program anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
"Kemudian saya mohon untuk mengikuti Latihan Pengurusan Projek di bawah Mereka Academy, sebelum ditawarkan jawatan percubaan selama enam bulan di Mereka Academy."

"Di Mereka Academy, saya dibimbing dalam pengucapan awam, pengumpulan data impak, dan membantu perusahaan sosial dalam program yang membantu pencari kerja meningkatkan kemahiran diri untuk mendapatkan kerjaya sepenuh masa atau separuh masa,” ujar anak kelahiran Temerloh, Pahang ini.

Sudah berpuluh kali Wan Nazmi mohon pekerjaan tapi hampa

Wan Nazmi Haziq Wan Hussin, 21, seorang OKU kerdil, telah menghadapi pelbagai cabaran untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan stigma masyarakat terhadap komuniti OKU.

Sebelum ini, beliau menuntut dalam jurusan Sijil Pengurusan Pejabat di PLPP Bangi juga dari Jun 2022 hingga Jun 2023.

WAN NAZMI
Wan Nazmi, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui pernah memohon kerja di berpuluh-puluh syarikat tetapi gagal kerana majikan bimbang bahawa OKU sepertinya kurang kemahiran komunikasi, berdikari, dan tidak dapat bekerja secara produktif.

Namun ketika di PLPP, Nazmi menyertai Program Collective Impact untuk meningkatkan kemahiran digital.

"Alhamdulillah, pada Februari tahun ini saya diterima bekerja di sebuah klinik dan gaji yang ditawarkan juga boleh membantu menyara hidup saya dan juga keluarga," katanya.

Dina dapat kerja dan berupaya menyokong keluarga

Nur Rusydina Binti Rosli (Dina), 25, anak sulung daripada empat beradik, mengakui sukar mendapatkan pekerjaan kerana kebanyakan permohonan kerjanya ditolak oleh syarikat yang tidak yakin dengan kebolehannya untuk bekerja.

Namun sebagai seorang OKU kerdil, beliau tidak menyangka rezekinya akan datang selepas menyertai Program Collective Impact.

NUR RUSYDINA
"Kalau dahulu saya tidak banyak tahu kemahiran menggunakan perisian seperti Microsoft Word, Excel, dan PowerPoint, tetapi sejak menyertai bengkel Microsoft Skills for Jobs, saya kini mahir menggunakan semua perisian berkenaan," katanya yang berasal dari Hulu Terengganu.

Menurut Dina, gaji yang diperolehnya turut digunakan untuk membantu keluarganya di kampung.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menimba pengalaman dan tunjuk ajar dari Microsoft, Biji-biji Initiative, dan Mereka Academy sebagai persediaan memohon pekerjaan. Hasilnya, saya dapat berkomunikasi dengan baik ketika ditemu duga dan berjaya diterima bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah klinik," tambahnya.

Rusydina turut mempunyai impian untuk memiliki kenderaan sendiri bagi memudahkannya ke tempat kerja setiap hari.

Jika anda juga berminat untuk menguasai kemahiran digital serta ingin memperluaskan peluang kerjaya, boleh layari: Microsoft Skills for Jobs Malaysia - Biji-biji Initiative dan Microsoft AI Teach - Biji-biji Initiative.