BANDARAYA GAZA - Ahli keluarga kepada pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh termasuk kakaknya, terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas rumah mereka di barat Bandaraya Gaza pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.
Menurut sumber perubatan, sekurang-kurangnya 10 orang daripada keluarga Haniyeh terbunuh dalam serangan di kem pelarian Beach.
Pada 10 April, Haniyeh kehilangan tiga anak lelakinya dalam serangan udara Israel ke atas kereta mereka di kem Beach.
Serangan udara Israel yang lain menyasarkan dua sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan di kawasan perumahan Al-Daraj, timur Bandaraya Gaza dan di kem pelarian Beach, menyebabkan beberapa kematian.
Pihak berkuasa kesihatan masih belum mengesahkan jumlah mangsa yang terbunuh dan cedera.
Sementara itu, pasukan Pertahanan Awam di kem pelarian Al-Maghazi, di tengah Semenanjung Gaza mengeluarkan lima mayat penduduk, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang wanita yang tertimbus di bawah runtuhan rumah yang musnah akibat serangan udara Israel.
Israel, yang mengabaikan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, telah menghadapi kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan kejam yang berterusan di Gaza.
Lebih 37,600 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala hampir 86,100 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Lebih lapan bulan konflik Israel-Hamas mengakibatkan kawasan Gaza yang luas musnah di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!