"AKU Kahar, Kapla High Council...”. Bagi yang menonton drama siri Projek High Council, dialog tersebut cukup sinonim dengan bakat baharu, Amir Ahnaf.
Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan, watak Kahar telah melonjakkan nama bintang berusia 23 tahun itu dalam industri seni.
Mengakui bangga dibayangi watak tersebut, pemilik nama penuh Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin itu melihat perkara tersebut dari sudut positif.
”Sekurang-kurangnya, sepanjang karier, ada satu watak yang diingati dan pada masa sama ia memberi tekanan sebenar, bagaimana saya dapat lari daripada watak berkenaan dalam naskhah berbeza.
”Sebenarnya saya tidak kisah bawa watak apa pun, termasuklah sampingan pun saya terima. Setakat ini, saya masih mengatur lagi karakter apa yang bersesuaian.
”Sebagai pelakon, tentulah saya nak jadi seorang aktor versatil dan tampil dengan pelbagai watak berbeza,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Kahar Kapla High Council di Tropicana Damansara baru-baru ini.
Namun, tidak seperti rakan seangkatan lain yang pantas memaut apa sahaja peluang yang datang untuk mengukuhkan nama, produk Hero Remaja 2021 itu dilihat tenang dan tidak terburu-buru.
Malah anak kelahiran Dungun, Terengganu itu juga menolak untuk mencipta kontroversi murahan, semata-mata bagi mencipta nama dalam masa singkat.
”Kalau orang terdekat kenal, mereka tahu saya ini jenis yang pemalu dan pendiam. Senang kata, saya seorang introvert.
”Saya lebih suka asingkan diri. Cuma saya tidak nafikan, kontroversi sebenarnya adalah pemasaran yang bagus untuk seseorang selebriti, tetapi daripada sudut yang bagaimana.
”Kalau jenis buruk, memang tidak bagus. Saya percaya bakat, kerja keras, disiplin dan sikap yang baik akan mengatasi kontroversi, tidak kiralah sama ada buruk atau yang baik,” jelasnya yang tidak menafikan pernah dicadangkan segelintir pihak dalam industri untuk mencipta kontroversi.
Projek Kahar
Dek populariti watak itu juga, kisah Kahar kemudiannya diangkat ke layar lebar menerusi filem Kahar Kapla High Council tidak lama lagi.
Menyifatkan filem tersebut sebagai hadiah buat peminat yang tidak jemu menyokongnya, Amir berkata, Kahar Kapla High Council akan menjawab segala persoalan mengenai latar belakang Kahar sebelum menjadi ‘kapla’ di Kolej Ungku Deramat (KUDRAT).
”Selepas Projek High Council tamat siaran, ramai yang nak tahu latar belakang Kahar, siapa abang dia dan bagaimana dia menjadi ‘kapla’.
”Inilah jawapannya dan apa yang boleh saya janji, mereka yang menonton filem ini kelak, akan keluar panggung dengan perasaan yang puas,” ujarnya.
Malah, Amir turut meluahkan rasa teruja apabila berpeluang bergandingan bersama Aedy Ashraf yang bakal membawakan watak Beja, yang juga abangnya.
”Seperti yang kita ketahui, Aedy banyak pengalaman dan dia pun sudah lama berlakon. Jadi saya tak sabar nak korek ilmu daripada dia.
”Sebelum ini kebanyakan naskhah yang saya jayakan, pelakon gandingan sebaya atau seangkatan, jadi bila ada yang lebih berpengalaman, saluran itu berbeza,” katanya.
Ditebak pandangannya mengenai watak Kahar yang dikritik kerana membawa mesej dan imej tidak sihat kepada penonton, terutama generasi muda, Amir berkata, beliau akan cuba menasihati generasi muda yang terpengaruh sekiranya bertemu.
”Tidak dinafikan saya ada jumpa beberapa budak yang melontar dialog ‘Aku Kahar, Kapla High Council’, selalunya saya akan panggil mereka dan beritahu jangan mencontohi Kahar.
”Saya akan nasihati mereka macam berbual abang dan adik. Saya juga ingatkan mereka apa yang saya buat cumalah lakonan semata-mata,” jelasnya sebelum mengakhiri perbualan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!