PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan memberi amaran keras terhadap semua kenderaan asing supaya mematuhi undang-undang jalan raya di Malaysia susulan pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) bermula 1 Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan tidak akan melakukan 'pusingan U' dan serius dalam melaksanakan peraturan tersebut.
"Bermula 1 Oktober, VEP akan dikuatkuasakan. Mesejnya adalah jelas. Saya harap pemandu dari Singapura yang kerap masuk ke Malaysia patuh kepada undang-undang dan peraturan ditetapkan.
"Jika sebelum ini mereka yang mempunyai banyak saman sukar dikesan, jadi dengan pelaksanaan VEP dapat mengenal pasti setiap kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dan melanggar undang-undang, mereka perlu bayar saman dulu sebelum keluar dari negara kita," katanya ketika sidang akhbar di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia (PIMA) pada Selasa.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, MOT akan melaksanakan sistem Kutipan Caj Jalan dan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (RCVEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Oktober ini.
Tambah beliau, sejak April 2019, MOT melaksanakan pendaftaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) kepada pemilik kenderaan asing yang merentasi Kompleks CIQ Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor serta Kompleks CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar di Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
Mengulas lanjut Anthony memaklumkan, semua pemilik kenderaan motor asing yang akan merentasi Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura boleh menggunakan tempoh masa dari sekarang sama ada untuk memperbaharui VEP yang akan tamat tempoh atau melengkapkan proses pendaftaran mendapatkan VEP bagi kenderaan mereka.
Ujarnya, berdasarkan rekod semasa terdapat hanya sekitar 70,000 kenderaan motor pendaftaran Singapura berdaftar dan mengaktifkan tag VEP berbanding lebih 200,000 kenderaan motor yang berdaftar namun masih belum melengkapkan proses memasang serta mengaktifkan tag VEP masing-masing.
Sementara itu Anthony berkata, pelaksanaan VEP juga akan diperluas di sempadan darat Malaysia-Thailand.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!