KUBANG PASU - Cuaca panas melampau yang melanda negara pada awal tahun ini memberi kesan kepada pengeluaran hasil durian.
Pengurus Dusun Durian Teratak Chu Tiah, Ahmad Luqman Hakim Nor Azlan, 34 berkata, hasil durian daripada 5,000 pokok yang diusahakan di dusun sekitar Changlun itu menurun lebih 40 peratus.
Katanya, walaupun menyediakan sumber air yang cukup untuk pengairan tanaman namun cuaca yang terlampau panas memberi kesan kepada penghasilan bunga durian.
"Rata-rata kita tengok di Kedah ini, hasil durian menurun sebab cuaca. Dulu bunga jadi banyak tapi sekarang cuaca panas sangat 38-40 darjah Celsius bunga pun kering.
"Kita jirus (siram) juga pokok, tapi nak buat macam mana tak ada rezeki," katanya ketika ditemui di dusunnya di Kampung Sungai Kechil, Changlun di sini pada Selasa.
Menurutnya, sebelum ini dusun yang diusahakan bersama bapanya Nor Azlan Jan,63 itu mampu mengeluarkan buah kira-kira 1,000 biji sehari.
"Tetapi musim ini paling banyak pun 600 biji sahaja sehari, sebab itu kali ini kita tak buka slot makan dalam dusun.Takut tak mampu nak tampung permintaan," katanya.
Jelasnya, musim durian di dusunnya pada tahun ini lebih pendek iaitu dalam tempoh sebulan sahaja.
"Musim ini bermula awal bulan Jun dan dianggarkan hujung bulan ini buah akan habis, sekarang ini pun buah dah tak banyak. Tahun lepas tempoh buah luruh lebih lama iaitu sebulan lebih," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Luqman Hakim berkata, dusun mereka yang keseluruhannya berkeluasan kira-kira 23 hektar itu menawarkan pelbagai jenis durian kayangan.
"Di dusun kita ini, separuh daripadanya adalah pokok durian jenis duri hitam, kemudian musang king dan selebihnya udang merah, horlor, D28, dan D101.
"Jadi setiap tahun kita memang sudah ada pelanggan tetap yang merupakan penggemar durian kayangan.Lagipun harga yang kita tawarkan lebih murah kerana terus dari dusun," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!