LONDON - Capital A Bhd menjangkakan prestasi kewangan AirAsia meningkat pada tempoh berbaki separuh kedua 2024 susulan pertambahan permintaan bagi perjalanan udara selain kehadiran 250 pesawatnya yang kembali beroperasi.
Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tony Fernandes optimis syarikat penerbangan tambang rendah itu berupaya berdepan kenaikan tambang udara global dan pada masa sama terus menawarkan tambang rendah berbanding syarikat penerbangan lain.
"Apa yang pasti, usaha terbesar kami adalah mengembalikan operasi kesemua 250 pesawat yang tersadai akibat pandemik Covid-19, biarpun bukan semua. Ini disebabkan masih ada 20 pesawat yang belum dapat beroperasi semula,” katanya pada majlis Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2024 di sini.
Fernandes juga berharap jumlah baki pesawat itu dapat kembali beroperasi menjelang akhir tahun ini yang turut mendorong kepada prestasi lebih baik bagi tempoh separuh kedua 2024.
Malah, beliau berkata, pihaknya juga telah mula menerima pesawat daripada pihak Airbus.
"Ini kali pertama sejak Covid-19 yang menyaksikan kami menambah pesawat dan sudah pasti, potensi pertumbuhan amat luar biasa kerana ada 400 pesawat yang bakal diterima,” katanya.
Syarikat berkenaan setakat ini mempunyai pesanan 647 pesawat yang masing-masing merangkumi 612 unit pesawat jenis A320 dan 35 daripada kelompok A330.
Selain itu, ia turut menerima 250 pesawat dengan baki sebanyak 362 unit bagi A321neo, termasuk 36 bagi A321LR, 20 unit merangkumi A321XLR serta 15 unit jenis A330neo yang akan dihantar dalam 10 tahun akan datang.
Dari segi pertumbuhan laluan, Fernandes berkata, AirAsia akan melebarkan sayapnya ke Nairobi, Kenya pada Oktober yang menjadikannya syarikat penerbangan pertama Asia Tenggara dan tambang rendah ke destinasi itu.
"Bagi saya, ini sesuatu yang amat bermakna untuk kalangan perniagaan Malaysia, Asia Tenggara dan Afrika dihubungkan secara terus antara Kuala Lumpur dan Nairobi.
"Ini destinasi pertama daripada lokasi lain di Afrika kerana kami sememangnya sentiasa berusaha mewujudkan jaringan AirAsia di serata dunia," katanya.
Beliau juga menyifatkan pengembangan laluan bagi Nairobi dapat meningkatkan segmen kargo dan perniagaan melibatkan Malaysia dan Kenya dengan kelompok penuntut serta pelancong menjadi sasaran pasaran yang penting.
Menyentuh Asia Digital Engineering (ADE), Fernandes berkata unit kejuruteraan dan penyelenggaraan Capital A itu mempamerkan pertumbuhan memberangsangkan dengan kemudahan hangar baharu berkeluasan 8.19 hektar dibangunkan dalam dua fasa.
Menurutnya, fasa pertama dijadual beroperasi menjelang Ogos manakala persiapan pengoperasian fasa kedua dijangkakan menjelang Oktober tahun ini.
"Pasukan ADE amat agresif. Setakat ini tiada sebarang rancangan untuk langkah tawaran awam permulaan, tetapi saya yakin aspek ini akan diteliti kemudian,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!