PNB catat pendapatan kasar RM16.4 bilion, bersih RM13 bilion pada 2023

Iklan
PNB merekodkan peningkatan pendapatan kasar RM16.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2023 berbanding RM14.5 bilion pada 2022. - Gambar hiasan

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) telah merekodkan peningkatan sebanyak 13 peratus dalam pendapatan kasar iaitu RM16.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2023 berbanding RM14.5 bilion pada 2022.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, dalam tempoh tersebut pendapatan bersih pula bertambah 25 peratus iaitu daripada RM10.4 bilion kepada RM13 bilion.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PNB menghasilkan pulangan memberangsangkan merentas portfolio produk yang terdiri daripada 17 dana terutamanya melalui dana harga tetap dan berubah-ubah.

"Kenaikan had pelaburan individu untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan peningkatan saiz dana Amanah Saham Malaysia (ASM) telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

Iklan

"Lebih 780,000 pemegang unit mengambil peluang meningkatkan simpanan mereka. Secara keseluruhan, perkembangan ini menghasilkan jualan tambahan sebanyak RM6.8 bilion bagi ketiga-tiga dana tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, selain prestasi kewangan, PNB turut mengambil langkah signifikan dalam perjalanan kelestarian terutamanya menetapkan arah jelas untuk mencapai pelepasan sifar bersih di peringkat perusahaan dan portfolio.

Iklan

Beliau berkata, Rangka Kerja Kelestarian PNB menggariskan 10 prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk memacu perniagaan dengan pelaburan bagi menghasilkan pulangan mampan serta kompetitif.

"Kami juga tersebut menerapkan pendekatan Kurangkan, Gantikan dan Ofset (R2O) yang mana PNB telah menetapkan 2022 sebagai tahun asasnya, menilai pelepasan perusahaan serta mengenal pasti sumber pelepasan gas rumah hijau (GHG) bagi Skop 1, 2, dan 3.

"Strategi pelaburan PNB pula memberi tumpuan kepada sektor-sektor seperti pengangkutan hijau, tenaga boleh diperbaharui, bangunan hijau dan pertanian mampan dengan 41 peratus daripada sasaran RM10 bilion menjelang 2030 telah dicapai menjelang akhir tahun 2023,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Raja Arshad berkata, pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati, namun optimis terhadap unjuran bagi 2024.

"Landskap global terus berkembang dengan perubahan pesat dan cabaran yang tidak dijangka. Dalam persekitaran ini, PNB kekal kukuh untuk mencari dan merebut peluang pelaburan baharu yang boleh memberi pulangan mampan kepada pemegang unit.

"Kami bertekad untuk cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan kepada pemegang unit dan tanggungjawab sosial yang lebih luas.

"Kami bersyukur atas keyakinan setiap pemegang unit terhadap PNB dan terus berusaha untuk mengekalkan kepercayaan tersebut melalui produk dan perkhidmatan kami,” tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!