[DIKEMAS KINI] SELANGOR FC menerima tamparan hebat selepas antaranya didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025, susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.
Skuad Gergasi Merah juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.
Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), akan dimainkan tanpa penonton.
MFL dalam kenyataan pada Selasa, memaklumkan kesemua keputusan itu dibuat selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mengadakan mesyuarat, bagi membincangkan kes Selangor tidak hadir pada aksi Sumbangsih menentang JDT yang sepatutnya berlangsung 10 Mei lepas.
Bagaimanapun, MFL tidak menyatakan tarikh berkuat kuasa kesemua denda itu dan sekiranya terdapat ruang buat Selangor membuat rayuan.
Pemotongan tiga mata menyaksikan Selangor yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul sembilan mata, akan jatuh ke posisi kelima.Bulan lepas, Selangor terpaksa menarik diri daripada menyertai perlawanan Sumbangsih susulan insiden jenayah serta ancaman yang berlaku membabitkan beberapa pemain, selepas pemain sayap mereka Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei.
Selangor menegaskan bahawa keselamatan pasukan diutamakan selain memandang serius segala bentuk ancaman dan tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan perkara itu.
Keputusan itu menyaksikn JDT diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi aksi Liga Super.
Dalam pada itu, MFL memaklumkan wang denda RM100,000 yang dikenakan terhadap Selangor akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan nanti.
Menjelaskan mengenai aksi Liga Super minggu ke-14 di Stadium MBPJ, badan pengelola Liga Malaysia itu menjelaskan operasi perlawanan tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama antara MFL dan pasukan tuan rumah.
"Syarat kemasukan wakil terpilih kedua-dua kelab yang akan diselaraskan untuk kehadiran pada hari perlawanan,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!