Ustaz Don langgar ketetapan JAIS - Mohd Shahzihan

Iklan
Laporan Sinar Harian

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangguhkan program ceramah agama oleh Ustaz Don Daniyal Don Biyajid atau Ustaz Don dilakukan berikutan perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah MAIS pada Isnin telah memutuskan Ustaz Don perlu mengemukakan kenyataan bertulisnya kepada jawatankuasa terhadap beberapa fakta tentang ceramah agama yang disampaikan beliau.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan.

"Ini berdasarkan beberapa aduan yang diterima oleh pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap Ustaz Don Daniyal Don Biyajid di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mohd Shahzihan memberitahu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dan menekankan kepada pemegang tauliah agar umat Islam di negeri ini dapat diberikan kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.

Sehubungan itu, jelas beliau, JAIS perlu menghentikan perkara seumpama itu dengan segera agar tidak berleluasa di negeri ini berkaitan apa jua bentuk pandangan dan pernyataan tentang hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil yang sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam.

Iklan

"JAIS amat berharap agar semua pihak di Selangor dapat bekerjasama dan akur serta dapat mematuhi arahan untuk tidak mengundang atau membatalkan sesi ceramah atau apa-apa jua bentuk pengajaran agama Islam yang akan dilaksanakan melibatkan Ustaz Don sehingga Jawatankuasa Tauliah MAIS membuat keputusan muktamad tentang kedudukan beliau sebagai pemegang tauliah mengajar MAIS," tambahnya.

Sinar Harian pada 23 Jun lalu melaporkan, tular surat daripada JAIS di media sosial berhubung penangguhan ceramah atau kuliah agama oleh Ustaz Don.

Surat bertarikh 21 Jun itu memaklumkan, ceramah atau kuliah daripada Ustaz Don membabitkan semua agensi dan institusi masjid, surau serta musala di Selangor hendaklah ditangguhkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!