ALOR SETAR - Kedah menyasarkan pelancong dari negara-negara Timur Tengah khususnya Arab Saudi dalam merancakkan kempen Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana pelancong dari negara terbabit merupakan golongan yang berbelanja besar dan seterusnya akan menjana lebih pendapatan kepada negeri ini.
Menurutnya, berikutan itu kempen TMK 2025 lebih bersasar dan menepati sasaran dalam merancakkan sektor pelancongan pada tahun hadapan.
"Kita beri perhatian lebih kepada pelancong antarabangsa selain pelancong domestik. Kempen kita berdasarkan kepada data pelancong, walaupun kemasukan pelancong China begitu ramai dalam tempoh tertentu yang direkodkan sebelum ini, tetapi mereka bukan kategori pelancong yang berbelanja.
"Pelancong yang kuat berbelanja adalah dari negara Arab. Jadi fokus kita lebih kepada negara-negara Arab termasuk bentuk kempen, iklan kini lebih bersasar,” katanya di sini pada Selasa.
Muhammad Sanusi berkata, faktor tersebut penting berikutan keupayaan pelancong untuk berbelanja mencetuskan perkembangan ekonomi yang akan merancakkan sektor-sektor lain yang berkaitan.
"Bermula dari pelancongan itulah datangnya sektor lain seperti perhotelan, logistik, pengangkutan dan kebanyakan sektor bergantung atau terkesan dengan sektor pelancongan sebab itu kita bagi perhatian lebih,” jelasnya.
Menurutnya lagi, sektor pelancongan juga menjadi nadi kepada ekonomi negeri berikutan Kedah memiliki banyak tempat menarik untuk dilawati pelancong.
"Saya tak meletakkan tempoh untuk jayakan TMK 2025, ia akan berlangsung sepanjang tahun. Kita mahu sepanjang masa Kedah menjadi destinasi utama pelancongan,” ujarnya.
Muhammad Sanusi tidak menafikan Langkawi akan terus menjadi pintu masuk pelancong ke negeri ini atas faktor tarikan utama.
"Kita ada banyak tempat menarik di tanah besar, namun saya akui pintu masuk kepada Kedah masih lagi Langkawi. Jadi kita akan bawa pelancong dari Langkawi ke tanah besar menerusi pakej dan kempen pelancongan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, konsep TMK 2025 akan menampilkan keunikan Kedah secara tersendiri dan akan dilancarkan pada pertengahan Julai depan.
"Kita sudah putuskan untuk tidak adakan prapelancaran, sebaliknya terus kepada pelancaran program yang pada asalnya dicadangkan pada Jun. Kita nak elak berbelanja dua kali.
"Kita injak ke Julai disebabkan tidak mahu bertindih dengan acara utama, Hari Keputeraan Sultan Kedah pada 29 Jun yang diisi pelbagai acara.
"Saya beri jaminan kempen TMK 2025 sangat berbeza dalam mempromosikan Kedah sebagai destinasi pelancong domestik dan antarabangsa. Saya yakin kita akan menjadi peneraju sektor pelancongan pada tahun depan,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!