'Tiada makna rekaan pakaian Olimpik cantik, tapi tidak bawa pulang emas'

Iklan
Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin bercakap pada sidang media. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Rekaan yang cantik pada pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024 tidak membawa sebarang erti, sekiranya mereka gagal menjelmakan kilauan emas sulung negara di Paris nanti.

Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, tema utama pakaian rasmi dihasilkan termasuk penggunaan warna emas berbanding jingga sebelum ini, bertujuan untuk membawa aura pingat yang menjadi idaman kontinjen negara pada temasya sukan berprestij dunia tersebut.

Iklan
Iklan

"Kita sudah setuju dengan Yonex (pengeluar pakaian rasmi) untuk tunjuk warna emas...warna jingga sudah lama sejak 2004 lagi, jadi ramai atlet sebelum ini minta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk tukar warna lain.

"MOM sudah sepakat dengan Yonex untuk tukar kepada warna emas kerana kita menyasarkan untuk menang pingat emas, itu sebenarnya tema dan Yonex juga berpendapat warna emas padan dengan warna hitam...jika warna cantik tapi tidak dapat emas atau pingat tidak guna juga,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi latihan pemain perseorangan wanita profesional Goh Jin Wei di sini, hari ini.

Iklan

Beliau juga menjelaskan penggunaan bendera Malaysia di sebelah kiri pakaian rasmi tersebut yang kurang tepat seperti dibangkitkan pengguna media sosial, sebenarnya merupakan logo rasmi MOM.

"Warna jingga, emas, hitam biru semua boleh, ini logo Majlis Olimpik Malaysia bukan bendera Malaysia, jadi tiada masalah,” katanya.

Iklan

Hamidin yang juga Timbalan Presiden MOM berkata, rata-rata atlet negara yang bakal beraksi pada Sukan Olimpik 2024, bersetuju dengan rekaan pakaian rasmi kontinjen negara di Paris.

Dengan berbaki hampir sebulan sebelum Paris 2004 dibuka secara rasmi pada 26 Julai ini, Hamidin berkata, lebih baik sekiranya semua pihak termasuk orang ramai terus memberi sokongan padu kepada kontinjen negara, pada Sukan Olimpik kali ini.

Menyedari kritikan dilemparkan di media sosial berhubung rekaan pakaian rasmi tersebut, beliau berkata, MOM mungkin membuka peluang buat orang ramai membuat rekaan mereka, bagi edisi Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

"Saya sudah hubungi Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan pada dasarnya beliau sudah setuju masa akan datang, kita buka pada peminat untuk reka (pakaian rasmi kontinjen), kita akan pilih dan mungkin beri sagu hati,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui kesilapan menggunakan patung mannequin bagi memperagakan pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024 berupa baju berkolar, baju T dan jaket, yang diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, pada Ahad.

Baru-baru ini, rata-rata peminat sukan tanah air di media sosial meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap rekaan itu, yang didakwa sedikit terbelakang dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen negara sebelum ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!