KUALA LUMPUR - Pembangunan rumah ganti 35 tingkat di Lot PT 26640 Jinjang Selatan kini sedang dalam tempoh pembangunan bagi menyelesaikan isu perumahan penduduk Lot 9714 Jinjang Selatan Tambahan di Kepong.
Unit Media, Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, rumah ganti dengan kemudahan tiga bilik dan dua bilik air itu kini mencapai status sehingga 82 peratus dan dijangka siap akhir tahun ini.
"Sementara bagi pembangunan rumah mampu milik mendapat kelulusan perancangan pada Ogos 2023 akan mula dibina selepas isu 'pylon elektrik' diselesaikan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam masa terdekat.
"Beberapa siri perbincangan dan tindakan susulan dilaksanakan DBKL, Uttara Land Sdn Bhd bersama wakil penduduk mengenai penyelarasan dokumen Ex-TOL bagi memastikan pengisian unit dapat dilaksanakan.
"Sesi libat urus bersama penduduk turut diatur bagi memaklumkan mengenai status pembangunan dan hala tuju tapak," kata unit media pihak berkuasa tempatan itu dalam satu kenyataannya pada Selasa.
Terdahulu, Lot PT 26634, PT 26635, PT 26636, PT 26637, PT 26638, PT 26639, PT 26640, PT 26641 (sebelum ini dikenal sebagai Lot 9714) terlibat dengan penjualan tanah milik Datuk Bandar Kuala Lumpur kepada Uttara Land Sdn Bhd melalui satu perjanjian pada November 2017.
Jelas kenyataan itu, Lot PT 26640 merupakan lot tanah yang terlibat untuk membangunkan rumah ganti berkeluasan 900 kaki persegi dan 750 kaki persegi serta rumah mampu milik kepada penduduk Ex-TOL setinggan dan rumah Panjang Jinjang Selatan Tambahan.
"Penduduk unit-unit kediaman dibenarkan tinggal di tapak dan hanya akan berpindah setelah pembangunan rumah ganti siap sepenuhnya pada akhir tahun 2024 manakala unit komersial dibenarkan menduduki tapak sehingga Ogos 2024," ujarnya.
Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan itu turut memaklumkan akan meneliti segala butiran tuntutan yang terkandung di dalam memorandum yang dikemukakan oleh wakil penduduk pada Isnin.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!