35 tan sisa tumpahan minyak dikumpul di pesisir perairan Pengerang

Iklan
Kerja-kerja membersihkan kawasan antara pantai Sungai Rengit hingga Teluk Ramunia, Pengerang, Kota Tinggi yang terjejas dengan tumpahan minyak masih dilakukan.

KOTA TINGGI - Fasa kedua kerja-kerja pembersihan di tumpahan minyak sepanjang pesisir Sungai Rengit hingga Teluk Ramunia, Pengerang, dekat sini yang bersepadan dengan Singapura sudah siap 40 peratus.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, proses pembersihan di kawasan sempadan Malaysia-Singapura itu turut dilakukan berhampiran tembok pemecah ombak di Sungai Buntu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan masih dilakukan di kawasan pantai Sungai Rengit kerana ketika ini dipercayai terdapat lapisan minyak nipis dan sisa berminyak semasa air surut.

"Kerja yang terlibat adalah pembersihan sisa berminyak termasuk pembersihan batu kerikil, penyemburan kawasan berbatu, pengumpulan minyak terapung dan lapisan minyak di pantai menggunakan 'absorbent boom' dan 'pad'.

Iklan

"Kaedah yang turut digunakan ialah penyingkiran minyak tebal di kawasan berbatu menggunakan 'absorbent pad' dan 'cotton rag' selain pengepungan air berminyak juga menggunakan 'absorbent boom' untuk mengelakkan mengalir ke arah laut," katanya ketika dihubungi.

Proses membersihkan sisa berminyak di sekitar Pantai Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi kini memasuki 40 peratus dalam fasa kedua.

Pada Jumaat, media melaporkan hampir 200 nelayan di pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit, Pengerang terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat turun ke laut akibat kesan tumpahan minyak.

Iklan

Situasi itu ekoran pelanggaran kapal pada 14 Februari lalu yang membabitkan sebuah kapal dari Belanda, Vox Maxima dilaporkan melanggar kapal tangki minyak dari Singapura, Marine Honor di Terminal Pasir Panjang.

Keadaan itu menyebabkan kapal tangki minyak yang dilanggar bocor hingga berlaku tumpahan minyak sebanyak 400 tan mengalir ke kawasan perairan dan laut di Terminal Pasir Panjang.

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, fasa pertama kerja-kerja pembersihan di kawasan pantai yang tercemar membabitkan pengumpulan sisa sampah berminyak telah siap sepenuhnya.

Bagaimanapun katanya, beberapa kawasan yang sudah mencapai status bersih itu masih terus dipantau pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Pengerang.

Setakat ini katanya, sebanyak 35 tan sisa berminyak telah dikumpulkan akibat tumpahan minyak itu hasil kerja pembersihan yang dilaksanakan kontraktor di beberapa lokasi sejak Jumaat lalu sehingga Isnin.

"Berdasarkan data setakat ini, sejumlah 43 jumbo bag sisa sampah berminyak telah dikumpulkan dan dibawa ke pangkalan kontraktor pembersihan dan tempat penyimpanan sementara di kawasan parkir MPP (Majlis Perbandaran Pengerang) di Dataran Sungai Rengit," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Hussin Zamora ketika dihubungi mengesahkan lebih kurang 159 laporan polis diterima daripada persatuan nelayan berhubung insiden itu, setakat Selasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!