AURA raga membara menghangatkan pembukaan rasmi Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Stadium Tertutup Bola Keranjang, Universitas Negeri Surabaya pada Selasa.
Edisi 21 yang menghimpunkan kira-kira 3,000 peserta dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari rantau Asia Tenggara itu dirasmikan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Ario Bimo Nandito Ariotedjo.
Perasmian yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud dimulakan dengan perarakan masuk kontinjen Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Myanmar, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Timor Laste dan Indonesia
Antara tarikan perasmian adalah kemunculan penyanyi Indonesia, Maretha Primadani dan Virzha yang menghiburkan hadirin dalam temasya bertemakan Perpaduan dalam Kepelbagaian.
Perarakan kontinjen, Malaysia diketuai Ketua Kontinjen negara ke AUG Surabaya-Malang 2024, Suhairi Ismail dengan atlet renang Bryan Leong Xin Ren sebagai pembawa Jalur Gemilang.
Sebagai rekod, Malaysia menghantar kekuatan 262 atlet dan 100 pegawai bagi bertarung dalam 28 acara menyasarkan 35 pingat emas selain berada dalam kelompok tiga terbaik edisi 2024.
Temasya AUG kembali ke Malaysia selepas 2008
Sebelum itu, temasya AUG akhirnya kembali ke Malaysia selepas disahkan secara rasmi sebagai tuan rumah edisi 2026 pada Selasa.
Biarpun begitu Timbalan Setiausaha Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli berkata, Malaysia juga berdepan cabaran apabila Kemboja menyuarakan hasrat menganjurkan temasya dwi tahunan itu.
"Edisi seterusnya merupakan hak Malaysia menganjurkan AUG 2026 tetapi Kemboja juga menawarkan diri.
"Mesyuarat hari ini diadakan untuk menentukan tuan rumah temasya 2026 dan Malaysia terpilih sebagai tuan rumah temasya.
"Ini keputusan yang tepat dibuat AUSC (Sekretariat Majlis Sukan Universiti ASEAN) sekali gus mengetepikan hasrat Kemboja menjadi tuan rumah edisi 2026," kata Pekan ketika ditemui di penginapan atlet di Surabaya pada Selasa.
Malaysia sebelum ini merupakan tuan rumah edisi 2024, namun menyerahkan hak penganjuran kepada Indonesia selepas republik itu berhasrat melangsungkannya di Surabaya dan Malang.
Keputusan itu membolehkan edisi 2026 menjadi milik Malaysia, namun bidaan Kemboja yang juga berminat menganjurkannya menyaksikan AUSC mengadakan mesyuarat bagi memutuskan status penganjuran.
Malaysia kali pertama menjadi tuan rumah AUG pada edisi Bangi 1984 dengan melibatkan enam negara dengan mempertandingkan jenis sukan.
Kemudian Malaysia menjadi tuan rumah kali kedua dengan edisi Shah Alam 1993, diikuti edisi Kuala Lumpur 2008.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!