TIDAK berapa lama dahulu, bekas juara Lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov mengkritik kehadiran 'ring girls' atau gadis gelanggang sebagai tidak berguna dalam arena seni mempertahankan diri (MMA).
Sejak berdekad, wanita seksi berjalan mengelilingi gelanggang MMA bagi mengumumkan kepada penonton aksi peringkat seterusnya.
Tradisi itu mula diperdebatkan sejak beberapa tahun lalu dengan ada yang menganggapnya sudah ketinggalan zaman.
Khabib yang sudah bersara antara individu bersetuju bahawa 'ring girls' adalah tugasan yang paling tidak berguna dan hanyalah berbentuk hiburan.
Dia juga berkongsi pengalaman menonton pertarungan langsung dengan arwah ayahnya, dan bagaimana kehadiran 'ring girls' yang seksi membuatnya tidak selesa.
Untuk itu, Khabib mahukan"elemen pertunjukan” seperti itu dipisahkan daripada sukan tempur.
Bagaimanapun, pendapat pedas Khabib tidak disenangi beberapa pihak termasuk Conor McGregor yang menganggap jaguh Dagestan itu terlalu konservatif dan minda tertutup.
Pun begitu, pendapat Khabib yang tidak kalah dalam 29 aksi di Oktagon ternyata benar apabila pertarungan UFC Fight Night: Whittaker VS Aliskerov yang berlangsung di Arab Saudi hujung minggu lalu tidak menggunakan sebarang khidmat 'ring girls'.
Malah, tiada siapa termasuk penonton yang menyaksikan pertarungan di kaca televisyen perasan dengan ketiadaan kelibat 'ring girls' semasa acara yang berlangsung di Kingdom Arena, Riyadh itu.
Menjengah komen netizen di media sosial, sebahagian besar mereka bersetuju dengan pendapat Khabib.
"Adakah anda perasan acara UFC kelmarin tiada 'ring girls' yang bertugas?"
"Kalau tiada siapa yang membangkitkannya tentu saya tidak perasan dengan ketiadaan 'ring girls' pada malam itu."
"Ya, Khabib berkata benar LOL."
"Saya baru perasan yang kita sebenarnya tidak memerlukan 'ring girls'."
"Baguslah UFC, boleh jimat duit untuk bayar lebih kepada petarung."